Selasa, 9 Mei 2017 | 6:34pm

Malaysia, Laos tubuh jawatankuasa sains, teknologi dan inovasi

DATUK Seri Najib Razak bersama Perdana Menteri Laos, Dr Thongloun Sisoulith menyaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kanan) dan Menteri Sains dan Teknologi Laos, Prof Boviengkham Vongdara menandatangani perjanjian kerjasama antara Malaysia dan Laos di Dataran Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Seri Najib Razak bersama Perdana Menteri Laos, Dr Thongloun Sisoulith menyaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kanan) dan Menteri Sains dan Teknologi Laos, Prof Boviengkham Vongdara menandatangani perjanjian kerjasama antara Malaysia dan Laos di Dataran Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Malaysia dan Laos akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama berhubung kerjasama sains, teknologi dan inovasi (STI) yang akan bertanggungjawab menentukan bidang keutamaan, merancang, menyelaras dan memantau kemajuan kerjasama berkenaan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan hari ini berkata: "Kedua-dua negara siap sedia memulakan kerjasama dan kolaborasi dalam bidang tersebut, khususnya bioteknologi, pembangunan standard dan keselamatan siber."

Ini dipersetujui setelah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai STI antara kedua-dua negara, yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Laos, Dr Thongloun Sisoulith di Perdana Putra di sini, hari ini, sempena lawatan rasmi sulung pemimpin Laos itu ke Malaysia.

MoU itu ditandatangani Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Menteri Sains dan Teknologi Laos, Prof Boviengkham Vongdara.

MOSTI berkata, MoU itu menyediakan perkongsian pengetahuan dan kepakaran serta membekal keupayaan saintifik dan teknologi bagi tujuan memajukan lagi ekonomi kedua-dua negara.

"Kedua-dua negara akan juga menyokong penyertaan sektor awam dan swasta termasuk universiti, institusi, persatuan dan organisasi dalam projek kolaborasi bersama," katanya.

Di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), ia berkata negara-negara ASEAN sedang berusaha ke arah menjadikan negara-negara anggota lebih bersepadu, mampan dan kompetitif di bidang ekonomi global.

"Oleh itu, langkah Malaysia menandatangani MoU dengan laos dalam bidang STI ini menunjukkan komitmen tinggi Malaysia dalam menyokong agenda AEC itu," katanya.

MOSTI berkata Madius dan Prof Boviengkham bersetuju untuk menandatangani MoU itu ketika sesi bilateral di luar Mesyuarat ke-16 Menteri-menteri ASEAN mengenai Sains dan & Teknologi (AMMST-16) di Vientiane pada 2015.

Ketika ini, Malaysia dan Laos mempunyai satu perjanjian luas berhubung Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya yang ditandatangani pada 8 Disember 1992 di Kuala Lumpur, di bawah kementerian luar masing-masing, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X