Selasa, 9 Mei 2017 | 9:12pm
Anis Al Idrus bersama kekasih, Aiman Rafzan.

Anis tak kisah dituduh asyik bercinta


Anis Al Idrus bersama kekasih, Aiman Rafzan.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Anis Al Idrus, 29, kembali membuka pintu hatinya untuk bercinta apabila diperkenalkan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Aiman Rafzan, 35, awal tahun ini.

Beliau yang turut dikenali sebagai penyanyi dan pengacara pernah menyatakan, hatinya tertutup untuk mengenali lelaki lain selepas putus kasih dengan bakat baharu, Raja Afiq, 22, sekitar Ogos atau September tahun lalu.

"Insya-Allah, doakan yang baik-baik saja," kata wanita ini ringkas tatkala diusik dengan pertanyaan apakah mereka sudah bersedia untuk membawa perhubungan berkenaan ke tahap lebih serius.

Anis dan Aiman, yang bekerja sendiri, mula berkenalan awal tahun ini selepas diperkenalkan oleh adik lelaki itu yang juga rakannya.

Kata Anis, dalam soal jodoh, beliau sedar dirinya tidak mampu untuk melawan takdir.

"Memang selepas episod cinta lalu, saya pernah cakap hati sudah pun tertutup. Bagaimanapun, pertemuan dengannya membuatkan hati saya terbuka semula untuk mengenali dirinya.

"Saya juga tak ambil kisah andai ada yang berkata, artis bertudung bernama Anis Al Idrus tak habis-habis dengan kisah cinta, berbanding kerjaya seni.

"Terpulanglah apa orang nak cakap. Kehidupan perlu diteruskan," katanya sambil memaklumkan, beliau perlu fokus kepada usaha mencari rezeki berbanding mendengar kata nista masyarakat.

Selain terbabit dalam dunia seni, Anis juga menceburi bidang perniagaan.

"Saya mula jadi model pada usia 15 tahun dan empat tahun kemudian, saya cuba berlakon dan mengacara pula.

"Kini, selain dunia seni, saya turut menceburi dunia perniagaan. Perniagaan butik dan produk kecantikan saya juga semakin berkembang. Alhamdulillah, apa yang saya lakukan memberikan pulangan yang baik," kata penyanyi lagu Mengapa itu.

Berita Harian X