Selasa, 9 Mei 2017 | 10:07pm

'Voices of Pelangi' pamer karya 7 pelukis

PENGUNJUNG melihat pelbagai karya lukisan yang dipamerkan pada majlis perasmian pameran lukisan " Voices Of Pelangi" di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar. Turut hadi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Sebanyak 68 lukisan yang dihasilkan tujuh pelukis tempatan dan antarabangsa, dipamerkan pada pameran 'Voices of Pelangi' di Galeri Prima, Anjung Riong The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Balai Berita, di sini.

 

Pameran bermula 1 Mei sehingga 17 Mei itu menghimpunkan tujuh sahabat daripada pelbagai latar belakang yang menggabungkan lukisan pelbagai jenis seperti abstrak, kubisme dan landskap untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

 

Pelukis yang terbabit dalam pameran itu adalah Datuk Luciano Mirri yang berasal dari Itali, Jane Tan Giok Tjeng, Ang Kooi Yong, Alice Chang, Felicia Yee Tuck Kein, Joe Lee Kok Chew dan Tan Pek Cheng.

 

Antara karya yang menarik perhatian adalah 'Leisure (2)' dan 'Gathering' dihasilkan Pek Cheng, masing-masing dijual pada harga RM160,000 dan RM145,000.

 

Turut mencuri tumpuan adalah karya Mirri bertajuk 'Still Life' dan 'Window With A View' yang dihasilkan pada tahun 1978.

 

Giok Tjeng, 70, berkata, tema pelangi dipilih bagi menggambarkan kepelbagaian lukisan yang dihasilkan, sesuai dengan pelangi yang terhasil daripada pelbagai warna yang indah.

 

"Awalnya agak sukar untuk memilih tema kerana masing-masing menghasilkan karya berbeza, sebelum masing-masing bersetuju dengan pelangi yang juga menggambarkan kegembiraan.

 

"Ini juga adalah pertama kali Mirri membuat pameran lukisan di Malaysia sejak datang ke negara ini lebih 30 tahun lalu.

 

"Kami agak bertuah kerana dengan penyertaan Mirri dalam pameran ini, ramai rakan-rakannya dari Eropah turut datang untuk menyaksikan karya kami," katanya ketika ditemui pada Perasmian Pameran 'Voices of Pelangi' di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Kaunselor Kedutaan Itali di Malaysia, Silvia Marrara.

Berita Harian X