Rabu, 10 Mei 2017 | 1:32pm

`Datuk' ditahan kes permit ekspatriat, profesional asing

ANGGOTA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengiringi dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk keluar dari perkarangan Mahkamah Majistret Alor Setar setelah mendapat perintah tahanan reman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bagi meluluskan permit kerja golongan ekspatriat dan profesional warga asing dengan nilai suapan berjumlah lebih RM20 juta. - Foto Shahrizal Md Noor
ANGGOTA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengiringi dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk keluar dari perkarangan Mahkamah Majistret Alor Setar setelah mendapat perintah tahanan reman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bagi meluluskan permit kerja golongan ekspatriat dan profesional warga asing dengan nilai suapan berjumlah lebih RM20 juta. - Foto Shahrizal Md Noor

ALOR SETAR: Seorang `Datuk' adalah antara dua lelaki yang ditahan malam tadi, bagi membantu siasatan kes suapan lebih RM20 juta membabitkan permit kerja ekspatriat dan profesional warga asing.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan selain mempunyai pusat cuci kereta, disyaki adalah penjaga aset dan harta kepada suspek utama iaitu seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Datuk berusia 53 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11 malam.

Seorang lagi lelaki, yang berusia 37 tahun ditahan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor jam 9.30 malam.

Kedua-dua suspek dibawa ke pejabat SPRM Kedah sebelum direman selama tujuh hari, sebentar tadi oleh Mahkamah Majistret, dekat sini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret, Naziah Mohd Alias, bermula hari ini hingga Selasa.

Suspek utama, yang berkhidmat di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, Perlis, telah ditahan kelmarin.

Ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta atau menerima rasuah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, mengesahkan tangkapan terbabit.

Kelmarin, SPRM menahan seorang pegawai kanan JIM selepas disyaki menjadi dalang utama bagi meluluskan permit kerja ekspatriat dan profesional warga asing dengan nilai suapan berjumlah lebih RM20 juta.

Susulan penahanan suspek utama itu, SPRM turut merampas pelbagai barangan dan aset bernilai RM2.5 juta, termasuk lima buah kenderaan mewah dan sijil simpanan tetap berjumlah hampir RM1 juta di rumahnya di Jitra.

SPRM Kedah turut menahan dua lelaki membabitkan pegawai JIM di ICQ Padang Besar dan kontraktor, yang disyaki turut memainkan peranan sebagai pemegang amanah kepada suspek utama.

Berita Harian X