Rabu, 10 Mei 2017 | 3:59pm

ECERDC jangka pelaburan swasta RM110b

KUALA LUMPUR: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menjangkakan pelaburan swasta ke wiliayah itu mencecah RM110 bilion tahun ini, jauh lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan pada tahun 2020.

Ini mampu dicapai hasil pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi, menaik taraf aspek kesalinghubungan, memanfaatkan sumber sedia ada dan disokong oleh barisan tenaga mahir yang terbukti menjadi pemangkin dalam usaha menarik pelaburan domestik dan asing.

Ketika berkongsi pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata taman-taman perindustrian yang dilengkapi infrastruktur dan insentif mesra pelabur di ECER turut menjadi faktor penarik untuk pelabur kerana membolehkan mereka memulakan operasi pada kadar segera dan pada masa sama turut menikmati habuan termasuk cukai percutian selama 10 tahun.


KETUA Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John. - Foto BERNAMA

Antara taman industri di wilayah itu ialah Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, Taman Automotif Pekan dan Taman Perindustrian Bersepadu Kuantan di Pahang; Taman Biopolimer Kerteh di Terengganu dan Taman Halal Pasir Mas di Kelantan yang melibatkan sektor utama seperti pembuatan, bioekonomi, minyak dan gas, pelancongan, logistik dan pengangkutan.

ECERDC adalah sebuah badan berkanun yang menerajui pelaksanaan pelan induk ECER merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor yang mewakili 51 peratus penduduk di Semenanjung Malaysia.

Menurut Issace, sejak penubuhan ECER pada 2008, nilai keseluruhan pelaburan swasta telah mencecah lebih RM102 bilion - pulangan yang meningkat 14 kali daripada pelaburan kerajaan sebanyak RM7.2 bilion, setakat ini.

Kerajaan juga terus menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion setiap tahun untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur strategik dan meneruskan program pembangunan modal insan dan keusahawanan ECERDC.

"Dua perkara yang perlu difikirkan apabila pelabur ke wilayah ini adalah kos (pelaksanaan) perlulah kompetitif dan kedua, perlu ada akses kepada pasaran domestik, serantau dan antarabangsa.

"Selain taman perindustrian, antara infrastruktur penting dalam ECER ialah Pelabuhan Kuantan yang sedang menjalani proses pembesaran sebagai pelabuhan laut menjelang pertengahan 2018 yang dapat digunakan oleh kapal dengan kapasiti muatan seberat 200,000 tan," katanya kepada Bernama.

Issace berkata, Pelabuhan Kuantan juga akan menjadi pintu masuk ke ASEAN dan negara-negara di rantau Asia Pasifik seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Australia.

"Nilai pasaran Asia Pasifik ialah US$7 trilion dan Pelabuhan Kuantan akan menjadi faktor penarik untuk pelabur datang dan melabur di ECER Malaysia," katanya.

Beliau berkata pelabuhan laut dalam itu dibangunkan oleh Konsortium Pelabuhan Kuantan dengan pelaburan bernilai RM3 bilion manakala pelaburan kerajaan dari segi infrastruktur dan sokongan bernilai RM1.3 bilion.

Mengulas infrastruktur jalan raya dan pengangkutan, Issace berkata Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kuantan dan Kuantan ke Tumpat, bakal menjadi satu lagi pengubah bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di ECER. Pembinaan ECRL akan bermula pada Julai ini dan dijadual siap menjelang tahun 2022.

"Selain itu, infrastruktur jalan raya agak baik dan berkembang termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang menghubungkan sehingga ke Terengganu.

"Bagi laluan dari Terengganu ke Kota Bharu masih dalam peringkat perancangan manakala bahagian barat LPT iaitu dari Gua Musang sehingga ke Raub dan Lipis pula dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang 2019," katanya.

Issace berkata, selain menerima kemasukan pelaburan swasta, ECERDC juga meneruskan usaha berurusan dengan orang ramai bagi memastikan mereka dapat memenuhi permintaan industri dengan menyediakan latihan kemahiran dan membangunkan usahawan di wilayah itu, khususnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) seperti ibu tunggal, belia yang menganggur dan orang kelainan upaya.

Setakat ini, lebih 655,000 orang mendapat manfaat daripada pelbagai projek dan program yang diadakan termasuk Usahawan ECER dan ''Empower ECER'' yang mana 97 peratus merupakan mereka daripada kalangan kumpulan B40.

Menurutnya, matlamat serampang dua mata bagi memacu pelaburan swasta dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di ECER merupakan objektif teras ECERDC yang diterjemahkan kepada tiga sasaran iaitu mewujudkan peluang pekerjaan, peluang keusahawanan dan pendapatan isi rumah yang lebih baik.

Bagi tempoh setakat suku pertama tahun ini, lebih 140,000 peluang pekerjaan dan 24,000 usahawan baharu dapat diwujudkan di ECER.

"ECERDC adalah entiti bertujuan khas di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan bagi menangani kebimbangan melibatkan ketidakseimbangan serantau serta masalah ketinggalan dari segi pembangunan sosial dan ekonomi.

"Sasaran kami adalah untuk melihat pembangunan mampan serta inklusif untuk penduduk wilayah ini menjelang 2020.

"Berdasarkan kadar pertumbuhan semasa, saya berasakan kita berada di landasan trajektori yang tepat untuk memperbetulkan masalah ketidakseimbangan serantau menjelang 2025 dan setanding dengan negeri-negeri lain," katanya.

Issace turut memuji komitmen empat Menteri Besar di setiap negeri terbabit yang turut berperanan sebagai ahli-ahli lembaga ECERDC dan mengetuai jawatankuasa penyelarasan dan pelaksanaan di peringkat negeri dalam usaha membantu mempercepatkan setiap projek pembangunan.

"Menerusi kerjasama dan sokongan mantap yang kita perolehi daripada sektor swasta dan kerajaan di peringkat negeri, rakyat di ECER khususnya di pedalaman kini mempunyai akses untuk menyertai program-progam yang diadakan.

"Kita turut menempatkan pegawai di 27 lokasi dalam wilayah berkenaan dan mereka ini bekerjasama erat dengan pegawai daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Ini bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada program-program ini yang menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.5 peratus di ECER.

"Kita juga berharap para pelabur menyedari bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk mereka melabur dalam ECER berikutan kewujudan banyak potensi dan peluang di rantau ini bagi tahun-tahun mendatang," katanya.

Agenda transformasi sosioekonomi kerajaan bagi ECER yang dilaksanakan menerusi ECERDC turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila meraih Anugerah Tadbir Urus Global Terbaik bagi Program Transformasi Ekonomi 2017 di Dubai, baru-baru ini. - BERNAMA

Berita Harian X