Rabu, 10 Mei 2017 | 4:19pm

10 ditahan bergaduh di pusat hiburan


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa. - Foto NSTP/Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dan tujuh warga Eropah selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di pusat hiburan di Jalan Tun Razak di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata suspek berusia antara 17 hingga 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 pagi tadi.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan turut ditahan selepas seorang daripadanya dipercayai melepaskan tembakan ke udara bagi meleraikan pergaduhan.

Katanya, kejadian bermula selepas dua warga tempatan yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol terlanggar bahu dengan seorang warga Britain dalam kelab terbabit.

"Keadaan itu mencetuskan suasana tegang dan berlaku pergaduhan antara mereka sebelum pihak keselamatan membawa lelaki Britain itu keluar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Program Pencegahan Jenayah dan Pelancaran 'Volunteer Smartphone Patrol (VSP)' peringkat kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Rusdi berkata, ketegangan berlanjutan di luar kelab apabila sekumpulan rakan warga Britain dan dua warga tempatan itu dikatakan bergaduh.

"Melihat keadaan itu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan pengawal peribadinya masing-masing melepaskan tembakan ke udara, bertujuan meleraikan pergaduhan.

"Sepasukan anggota polis tiba tidak lama kemudian dan menahan 10 lelaki.

"Lapan daripada suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan manakala dua lagi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan kerana cedera tetapi bukan disebabkan tembakan yang dilepaskan," katanya.

Rusdi berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang melepaskan tembakan memiliki lesen membawa senjata api.

Katanya, polis merampas dua pucuk pistol dan 14 butir peluru daripada suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 39 Akta Senjata Api melepas tembakan bukan di lapang sasar.

Berita Harian X