Rabu, 10 Mei 2017 | 5:33pm

Keuntungan bersih Toyota merosot

TOYOTA melaporkan penurunan keuntungan bersih buat kali pertama dalam tempoh lima tahun. - Foto AP
TOYOTA melaporkan penurunan keuntungan bersih buat kali pertama dalam tempoh lima tahun. - Foto AP

TOKYO: Toyota melaporkan penurunan keuntungan bersih buat kali pertama dalam tempoh lima tahun dan memberi amaran kos insentif pelanggan serta peningkatan yen sebagai ancaman yang menjejaskan keuntungan syarikat.

Unjuran kurang memberangsangkan itu mencerminkan pengeluar kenderaan terkemuka Jepun itu, termasuk pesaingnya Nissan dan Honda mendapat manfaat besar daripada kejatuhan mata wang negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, kenaikan mendadak yen bermula awal tahun fiskal sebelum ini yang disebabkan oleh Brexit dan kejatuhan pasaran saham dunia, memberi kesan terhadap keputusan kewangan terkini Toyota.

Pengeluar model Corolla dan hibrid Prius itu menjangkakan masalah mata wang lebih besar tahun ini, manakala insentif di pasaran Amerika Utara menyebabkan keuntungan operasi di rantau itu susut kira-kira 35 peratus.

Secara keseluruhan, Toyota mencatat keuntungan bersih 1.83 trilion yen (RM69.55 bilion), dengan pendapatan lebih rendah 27.6 trilion yen (RM1.05 trilion) bagi tahun berakhir Mac 2017, berbanding keuntungan bersih tertinggi 2.31 trilion yen (RM88 bilion) pada tahun sebelumnya.

Toyota yang tewas di tangan Volkswagen tahun lalu sebagai pengeluar kereta terbesar dunia, menjangkakan keuntungan bersih 1.5 trilion yen (RM57 bilion) bagi tahun semasa berakhir Mac 2018.

Jualan kenderaan pada tahun fiskal lalu meningkat kepada 10.25 juta unit berbanding 10.09 juta unit setahun sebelumnya.

Jualan di pasaran penting Amerika Utara bagaimanapun agak mendatar, manakala Toyota mencatatkan peningkatan di Eropah, Jepun dan seluruh Asia.

Permintaan merosot di Amerika Tengah dan Amerika Selatan, Afrika serta Asia Barat, katanya.

"Sektor automotif Jepun menyaksikan turun naik pendapatan apabila yen meningkat dalam tahun fiskal. Tukaran asing akan terus menjadi faktor penting bagi industri itu," kata penganalisis firma penyelidikan TIW di Tokyo, Satoru Takada.

"Timbul kebimbangan permintaan dalam pasaran Amerika Utara sudah memuncak memandangkan persaingan di sana semakin sengit.

"Pasaran China sedang berkembang berikutan pemotongan cukai, namun kadar pertumbuhannya perlahan," tambahnya. - AFP

Berita Harian X