Khamis, 11 Mei 2017 | 12:52am

Trump puas hati pertemuan dengan Lavrov

TRUMP menyifatkan pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov (gambar kecil) sebagai amat baik dan beranggapan perkembangan itu bakal menamatkan konflik di Syria.- Foto EPA
TRUMP menyifatkan pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov (gambar kecil) sebagai amat baik dan beranggapan perkembangan itu bakal menamatkan konflik di Syria.- Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menyifatkan pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov di Pejabat Oval di sini, semalam sebagai amat baik dan beranggapan perkembangan itu bakal menamatkan konflik di Syria.

"Kami mengadakan satu pertemuan yang amat, amat baik sekali," kata Trump sejurus mesyuarat itu.

"Kami akan menghentikan pembunuhan dan kematian di Syria."

Lavrov menjadi pegawai Russia paling kanan bertemu Presiden AS itu dan pegawai Kremlin paling berprofil tinggi melawat Rumah Putih.

Jarang sekali menteri luar atau pegawai kanan daripada kementerian itu diberi penghormatan bermesyuarat di Pejabat Oval.

"Saya percaya kami akan bekerjasama baik dengan menghormati Syria. Saya berasa segala-galanya berlaku secara amat positif," kata Trump.

Sementara itu, Lavrov berkata Trump berhasrat mengadakan perhubungan yang menguntungkan serta pragmatik dengan Moscow.

"Presiden Trump jelas mengesahkan minat dalam aspek pembangunan yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak, termasuk perniagaan," kata Lavrov. - AFP

Berita Harian X