Khamis, 11 Mei 2017 | 1:32pm
SEMUA pendatang dibawa ke pangkalan tentera laut di Tripoli.

Libya tahan 500 pendatang

TRIPOLI: Pengawal pantai Libya berjaya memintas sebuah bot kayu yang dinaiki kira-kira 500 pendatang selepas bertempur dengan kapal penyelamat Jerman, selain serangan pihak penyeludup.

Jurucakap tentera laut, Ayoub Qassem, berkata semua pendatang terbabit dalam perjalanan menuju Itali, tetapi berjaya ditahan di luar bahagian barat bandar Sabratha.

"Pertubuhan bukan kerajaan Jerman, iaitu Sea-Watch cuba menggagalkan operasi tentera laut di dalam perairan Libya dan mahu mengambil pendatang itu, atas alasan Libya tidak selamat," kata Ayoub kepada AFP.

Sementara itu, Sea-Watch memuat naik video ke Twitter dan mendakwa kapal tentera laut Libya dengan sengaja menghalang laluan kapal mereka.

"Kapal peronda Libya yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU) nyaris melanggar kapal penyelamat milik orang awam," menurut kapsyen video itu.

Ayoub berkata, pengawal pantai turut diserang penyeludup, namun tidak melaporkan sebarang kematian.

"Seramai 493 pendatang, termasuk 277 orang dari Maghribi berada di dalam bot itu.

"Semua pendatang, termasuk 20 wanita serta kanak-kanak dibawa ke pangkalan tentera laut di Tripoli.

"Yang turut berada di dalam bot ialah pendatang dari Bangladesh, Syria, Tunisia, Mesir, Sudan, Pakistan, Chad, Mali dan Nigeria," katanya. - AFP

59 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »