Khamis, 11 Mei 2017 | 6:05pm

4 penjenayah cuba samun ahli perniagaan


ANGGOTA polis mengusung mayat seorang daripada empat penjenayah Geng Civic yang ditembak mati di hadapan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Seksyen 10, Wangsa Maju, tengah hari tadi. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Empat penjenayah yang mati ditembak dalam kejadian samun di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini, tengah hari tadi dilaporkan cuba menyamun seorang ahli perniagaan yang diekori dari Taman Sri Gombak.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, suspek dikatakan cuba merampas beg mengandungi wang tunai berjumlah RM40,000 dari mangsa berusia 32 tahun, di hadapan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Md Isa, berkata suspek didapati mengekori mangsa dari Gombak, sebelum dua daripada mereka cuba menahan mangsa sebaik turun dari kereta.

"Dua daripada suspek sempat melarikan beg berkenaan sebelum melarikan diri ke arah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki.

"Pada masa sama, sepasukan pegawai polis yang melakukan rondaan terlihat kejadian dan cuba menahan suspek.

"Bagaimanapun, suspek melepaskan tembakan ke arah polis," katanya dalam sidang media, sebentar tadi.

Beliau berkata, tiga daripada suspek ditembak ketika berada dalam kereta manakala seorang lagi yang bersenjatakan parang ditembak ketika cuba menyerang polis.

Rusdi berkata, menerusi pemeriksaan susulan, polis merampas dua pucuk senjata api revolver dan dua parang daripada suspek.

"Semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan dipercayai aktif dalam beberapa siri jenayah samun manakala identiti mereka sedang dikenal pasti," katanya.

 

Berita Harian X