Khamis, 11 Mei 2017 | 7:51pm

SP Setia untung RM174.41j

KUALA LUMPUR: Untung sebelum cukai SP Setia Bhd merosot kepada RM174.41 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2017 berbanding RM194.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM940.19 juta berbanding RM908.46 juta sebelum ini.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu mengaitkan kemerosotan keuntungan sebelum cukai pada suku semasa kepada kejatuhan jumlah unit kediaman yang siap dan diserahkan untuk projek stesen tenaga Battersea Fasa 1.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen, berkata pada suku pertama kumpulan memperoleh jualan RM426.8 juta.

Jualan tempatan menyumbang 82 peratus dan selebihnya projek antarabangsa.

"Kami yakin pasaran akan gembira dengan pelancaran akan datang kami, kerana projek terbabit direka bentuk bagi memenuhi keperluan pembeli hartanah hari ini," tambahnya.

Mengenai prospek, SP Setia kekal positif dengan jualan belum dibil bernilai RM7.84 bilion, diterajui 30 projek yang sedang dilaksana dan baki simpanan tanah 2,080.49 hektar dengan nilai pembangunan kasar bernilai RM75.72 bilion setakat 31 Mac.

Pemaju hartanah itu berkata, ia optimis untuk mencapai sasaran jualan RM4 bilion bagi tahun kewangan semasa. - BERNAMA

Berita Harian X