Khamis, 11 Mei 2017 | 9:16pm

Setuju award timbang tara 1MDB, IPIC

KUALA LUMPUR: Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London memberikan award persetujuan bagi penyelesaian melalui prosiding timbang tara membabitkan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam konteks undang-undang Malaysia, ia menyamai mahkamah bersetuju kedua-dua belah pihak mengambil keputusan untuk menyelesaikan pertelingkahan secara baik di luar mahkamah.

IPIC melalui Bursa Saham London memaklumkan bahawa persetujuan itu sudah diperoleh Selasa lalu.

Pengumuman IPIC itu menyatakan, berikutan pengumuman pada 24 April lalu berhubung penyelesaian bersyarat dicapai antara IPIC, Aabar Investments PJS, Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan 1MDB, satu award persetujuan sudah diperoleh pada Selasa lalu.

"Sehubungan itu penyelesaian bagi prosiding timbang tara di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London kini tanpa syarat," menurut pengumuman IPIC kepada Bursa Saham London.

1MDB dalam kenyataan April lalu mengesahkan menerusi penyelesaian itu, mereka akan membuat beberapa pembayaran kepada IPIC dan bertanggungjawab untuk semua faedah masa depan serta pembayaran pokok untuk dua bon diterbitkan syarikat Kumpulan 1MDB yang matang pada 2022.

Menurut kenyataan itu, obligasi itu akan dipenuhi 1MDB terutama menerusi penjanaan unit dana pelaburan milik syarikat berkenaan.

Menurut 1MDB, penyelesaian secara timbang tara dan penjanaan unit dana pelaburan mewakili resolusi satu cabaran yang signifikan dan menjadi sebahagian besar daripada pelan rasionalisasi 1MDB, yang kini pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Ia turut mengesahkan, penjanaan dana awal kira-kira AS$50 juta (RM219.95 juta) sudah diterima dalam bentuk tunai.

Berita Harian X