Jumaat, 12 Mei 2017 | 1:01pm

2 dituduh rasuah penguat kuasa JPJ


S Moorthy (kiri) dan V Kumar didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh atas tuduhan memberi rasuah. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi rasuah kepada Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira tiga tahun lalu.

V Kumar, 57, yang juga penganggur dan S Moorthy, 51, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Kedua-duanya dituduh memberi suapan RM600 kepada Pembantu Penguat Kuasa JPJ, Azlee Ahmad, supaya tidak mengambil tindakan terhadap lori dinaiki mereka yang terlebih muatan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Ipoh-Lumut di kawasan Seri Iskandar, kira-kira jam 10.30 pagi pada 12 November 2014.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim S Indera Nehru memerintahkan kedua-dua tertuduh masing-masing diberi jaminan RM13,000 dan menetapkan 18 Mei ini untuk kes itu disebut semula.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin dan Kumar diwakili oleh M Kathan manakala Moorthy tidak diwakili peguam.

Berita Harian X