Jumaat, 12 Mei 2017 | 3:23pm

CJ WOW SHOP lancar kempen sempena Ramadan, Aidilfitri

Ketua Eksekutif CJ WOW SHOP, Kim Yang Hyun. - Foto fail
Ketua Eksekutif CJ WOW SHOP, Kim Yang Hyun. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Rangkaian beli-belah inovatif menerusi pelbagai platform di rumah, CJ WOW SHOP, menyasar jualan sebanyak RM30 juta dalam tempoh dua bulan sempena kedatangan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Jualan itu dijangka disumbangkan menerusi kempen jualan "Serikan Ramadan dan Raya Bersama WOW" yang akan berlangsung bermula 15 Mei hingga 16 Julai depan.

Ketua Eksekutifnya, Kim Yang Hyun, berkata pihaknya menjangka aktiviti beli-belah secara dari rumah akan terus meningkat sepanjang Ramadan dan musim perayaan.

Katanya, aliran itu dapat dilihat menerusi gelagat rakyat Malaysia yang kini lebih selesa membeli barangan dalam talian dan aplikasi mudah alih.

Beliau berkata, kepelbagaian promosi istimewa turut menyumbang kepada peningkatan transaksi pembelian di rumah.

"Menerusi kempen jualan ini, CJ WOW SHOP menambah lebih 30 barangan baharu bagi meluaskan lagi rangkaian produk, sekali gus menjadi pusat yang memenuhi keperluan dan keutamaan pelanggan.

"Antara koleksi yang ditawarkan termasuk produk Islamik yang bermutu tinggi, produk fesyen, peralatan rumah dan kediaman, perkakas dapur serta barangan kecantikan," katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di sini.

Tambah menarik, CJ WOW SHOP turut menjalin kerjasama dengan jenama automotif tempatan, Proton Holdings Bhd, dengan menawarkan hadiah utama berupa empat buah kereta Proton Ertiga kepada pembeli yang bertuah.

Selain itu, 10 pelanggan bertuah lain akan menerima baucar membeli-belah CJ WOW SHOP yang bernilai RM500 setiap satu.

Kim berkata, pihaknya sentiasa menyusun strategi untuk memastikan pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Hasil jualan sepanjang kempen ini berlangsung adalah faktor penting yang menyumbang terhadap matlamat kami untuk mencatatkan peningkatan dua kali ganda perolehan pada akhir tahun ini berbanding pencapaian tahun lalu," katanya.

Untuk menyertai kempen Serikan Ramadan dan Raya Bersama WOW, pelanggan perlu membuat dua pembelian atau lebih dengan jumlah pembelian RM200 ke atas sepanjang tempoh promosi Ramadan (15 Mei hingga 11 Jun 2017) dan promosi hari raya (13 Jun hingga 16 Julai 2017).

Berita Harian X