Jumaat, 12 Mei 2017 | 10:59pm

FAM tak perlu bimbang - Velappan

DATUK Peter Velappan . -Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu melihat aksi Kelayakan Piala Asia 2019 antara Harimau Malaya dan Korea Utara yang kekal berlangsung di Pyongyang sebagai medan terbaik memperbaiki hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Tokoh bola sepak negara, Datuk Peter Velappan, tidak bersetuju dengan badan induk bola sepak negara itu yang berkeras memohon perlawanan terbabit dilangsungkan di venue berkecuali.

"Bola sepak boleh menjadi ejen penyatuan dan pendamai untuk mana-mana negara di dunia ini.

"Justeru, dengan Malaysia memasuki Korea Utara atas tiket bola sepak, sudah pasti ini membuktikan hubungan kedua-dua negara sudah pulih daripada kemelut yang melanda sebelum ini.

"Gunakan peluang ini sebaiknya. Berdasarkan pengalaman saya memasuki Korea Utara sebelum ini, mereka tidak ada masalah memberi jaminan keselamatan dan saya yakin mereka mampu menjadi tuan rumah terbaik.

"Malah, saya beranggapan tiada lagi alasan untuk perlawanan terbabit berlangsung di gelanggang berkecuali.

"Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat keputusan tepat untuk aksi terbabit berlangsung di Pyongyang," katanya yang juga bekas Setiausaha Agung AFC ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

BH Sukan semalam melaporkan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bersetuju Harimau Malaya bertandang ke Pyongyang bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun ini atas sebab keselamatan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John mengesahkan skuad Harimau Malaya masih boleh beraksi di gelanggang berkecuali bagi aksi itu jika kerajaan Malaysia mengambil keputusan mengenakan sekatan untuk mengunjungi negara itu.

Berita Harian X