Sabtu, 13 Mei 2017 | 1:37pm

Saring pemegang kad pelarian: Nur Jazlan


DATUK Nur Jazlan Mohamed (tiga dari kanan) bersama Pengetua, Rusaini Ahmad (tiga dari kiri) dan Adun Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat (dua dari kiri) menunjukkan logo baru sekolah ketika majlis perasmian Penjenamaan SMK Tan Sri Mohamed Rahmat dan Hari Kualiti di SMK Tan Sri Mohamed Rahmat, Kempas. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati ramai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) berada di negara ini sehingga 30 tahun menyebabkan penting bagi saringan keselamatan dijalankan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya juga kesal kerana tidak mendapat kerjasama UNHCR untuk mendapat data mengenai jumlah pemegang kad pelarian yang dianggarkan lebih 150,000.

"KDN menghormati UNHCR tetapi kita mahu tahu kesahihan status pelarian itu demi keselamatan negara.

"Kad UNHCR digunakan untuk mendapat hak ditempatkan ke negara lain, ke negara ketiga tetapi ada sesetengah pelarian tinggal di negara ini sehingga 20 hingga 30 tahun dan berada di penempatan terasing dari penguatkuasaan.

"Bila mereka sudah tinggal 20, 30 tahun di Malaysia, maknanya mereka tidak diminati oleh negara ketiga, jadi mereka anggap masa depan mereka di Malaysia.

"Mahu duduk di sini (Malaysia) boleh tetapi kita mahu tahu latar belakang pelarian. Kalau betul pelarian, kita boleh pertimbang kedudukan mereka dan bagi kad kita yang disahkan KDN sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penjenamaan dan Hari Kualiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata, beliau berharap UNHCR tidak menyembunyikan sebarang maklumat dan bekerjasama bagi memastikan kesahihan pelarian yang berdaftar.

"Isu ini dibangkitkan sendiri oleh rakyat negara ini yang bimbang dengan kehadiran ramai orang asing di negara ini menggunakan kad pelarian.

"Kita hormati permintaan UNHCR supaya tidak menahan pemegang kad mereka tetapi sudah sampai masa untuk KDN juga diberi hak untuk memeriksa kesahihan," katanya.

Berita Harian X