Sabtu, 13 Mei 2017 | 7:10pm

Empat penambahbaikan Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017

DATUK Seri Azalina Othman (tengah) menerima cenderahati daripada Ketua Pengarah ILKAP, Datuk Anita Harun ketika majlis perasmian penutupan kursus "Course on Managing Sexual Offences Against Children" di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Bangi. - Foto Khairull Azry Bidin
DATUK Seri Azalina Othman (tengah) menerima cenderahati daripada Ketua Pengarah ILKAP, Datuk Anita Harun ketika majlis perasmian penutupan kursus "Course on Managing Sexual Offences Against Children" di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Bangi. - Foto Khairull Azry Bidin

BANGI: Empat penambahbaikan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 akan dicadangkan kepada Kabinet minggu depan, bagi memperkukuhkan undang-undang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata cadangan itu adalah menambah peruntukan mengenai Mahkamah Jenayah Khas, ganti rugi kepada mangsa kanak-kanak serta keluarganya, pelantikan peguam pemerhati serta perkhidmatan sokongan pada mangsa.

Katanya, cadangan menambah peruntukan Mahkamah Jenayah Khas yang akan membicarakan kes pelakuan seksual terhadap kanak-kanak bermula bulan depan, timbul kerana ia tidak terkandung dalam akta terbabit.

"Saya tidak mahu penubuhan mahkamah itu hanya dalam bentuk pentadbiran semata-mata, selain memastikan kes kesalahan seksual kanak-kanak tidak dibicarakan di mahkamah lain.

"Kita juga perlu meneliti untuk meletakkan tanggungjawab membayar ganti rugi tertentu seperti kos perubatan dan psikologi mangsa, ke atas bahu pesalah seperti yang dilakukan beberapa negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kursus Pengurusan Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di sini.

Kursus selama tiga hari itu dihadiri 250 pengamal undang-undang, hakim, pendakwa raya, badan bukan kerajaan (NGO), warga pendidik dan orang awam, bertujuan melatih mereka sebagai persediaan permulaan Mahkamah Jenayah Khas pada Jun ini.

Azalina berkata, kursus seumpamanya akan terus diadakan bagi melahirkan pakar perundangan dalam kes kesalahan seksual kanak-kanak yang akan mengendalikan semua kes membabitkan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X