Sabtu, 13 Mei 2017 | 8:38pm

TN50 dasar terbaik suara anak muda

DR Zambry Abd Kadir (tengah) dan Khairul Azwan Harun (enam kiri) bergambar bersama pelajar selepas Program Kita Boleh di Universiti Teknologi Mara (UITM) Seri Iskandar. - Foto Abdullah Yusof
DR Zambry Abd Kadir (tengah) dan Khairul Azwan Harun (enam kiri) bergambar bersama pelajar selepas Program Kita Boleh di Universiti Teknologi Mara (UITM) Seri Iskandar. - Foto Abdullah Yusof

SERI ISKANDAR: Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) mampu menjadi landasan terbaik bagi kerajaan mendengar suara anak muda dalam perancangan jangka masa panjang untuk pembangunan negara.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, berkata pendekatan menerusi dasar yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbeza dengan Wawasan 2020 yang lebih menjurus ke arah rakyat menerima serta merealisasikan wawasan itu mengikut acuan kerajaan.

Katanya, perancangan yang dibuat kali ini menerusi TN50, pemimpin berhasrat untuk menggunakan pendekatan menerusi kaedah pemerkasaan rakyat terutama untuk generasi akan datang.

"Perancangan kali ini tidak lagi menggunakan pendekatan 'paternalism' iaitu konsep memaksa (impose) kemudian rakyat mengikut perancangan itu sebaliknya hari ini lebih kepada pemerkasaan (empowerment).

"Ini bermakna kami (pemimpin) memperkasakan golongan belia, membenarkan suara anak muda diperdengarkan apa yang mereka mahukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada `Sesi Town Hall: Kita Boleh' di Dewan Seri Iskandar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar, di sini. 

Pada program berkenaan, kira-kira 800 pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang dilahirkan di Perak menyertai sesi dialog berkenaan bersama pemimpin negeri.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Pengerusi Majlis Belia Komanwel, A Kisha.

Khairul Azwan berkata, inilah masanya pemimpin mendengar kehendak anak muda dan semua aspirasi dan maklumat yang dikumpulkan itu akan dianalisis untuk menghasilkan pelan induk TN50 yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, pendekatan dibuat pemimpin terdahulu bersifat memaksa rakyat untuk menerima apa jua perancangan untuk memajukan negara sudah tidak relevan lagi untuk masa ini dan akan datang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X