Sabtu, 10 Januari 2015 | 2:43am

Dunia Islam makin kacau-bilau

Hina sungguh hina dan tercabar jadi orang Islam sekarang. Negara sendiri kacau-bilau, agama dipermainkan dan gerak-geri disyaki. Kita boleh salahkan konspirasi Barat dan jarum beracun Yahudi. Tapi minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, yang buat nama Islam busuk adalah orang Islam sendiri.

Kalau orang Islam ikut ajaran agama dan amal apa yang disuruh, tak ada siapa pun boleh laga-lagakan orang Islam dan lepas itu tuduh orang Islam ekstrem dan ganas.

Umat Islam boleh terus salahkan Barat, Yahudi, Zionis, Kristian, ateis, liberal dan segala macam lagi. Tapi selagi mereka jahil, miskin dan suka bergaduh selagi itulah dunia Islam akan terus jadi medan perang, lemah dan terjajah.

Semakin banyak negara orang Islam gagal. Dah jadi neraka dunia. Pada masa yang sama Barat makin bimbang dengan orang Islam yang bercempera di negara-negara mereka.

Tengok saja orang Islam Timur Tengah dan Afrika yang berduyun-duyun lari ke Eropah secara haram melalui Itali sampai sanggup sabung nyawa. Tahun lepas saja lebih 3,000 mati lemas dalam percubaan itu. Pada tahun 2013 seramai 60,000 mendarat dan dalam masa sembilan bulan pertama tahun lepas naik jadi 130,000.

Itali tu negara kafir, pusat pentadbiran mazhab Roman Katolik pula. Tapi di situlah orang Islam jejak kaki bila lari dari bumi sendiri. Pelik dan malu.

Jadi pelampau di negara orang

Lepas itu tak sedar diri pula. Nak terus hidup macam di negara sendiri dan bawa perangai buruk mereka ke negara orang. Bila dapat taraf pelarian atau pemastautin jadi pelampau dan pengganas pula.

Pasal itulah Kunta Kinte selalu bagi amaran, kita di Malaysia pun kena jaga-jaga bila ada orang berjanggut berjambang, berserban, berketayap dan berjubah dari benua Arab, Afrika, India, Pakistan, Bangladesh dan macam-macam lagi tempat masuk negara kita.

Jangan asalkan kerana Islam kita terima dengan tangan terbuka. Kena kaji latar belakang mereka. Dah jadi pun yang mereka ini bawa macam-macam ajaran sesat dan sebar kepada orang kita yang jahil.

Bagi banyak orang Islam Malaysia, asal berjanggut dan berjambang, berserban dan berjubah alimlah orang itu. Yang mereka tak tahu, orang ini adalah daripada jenis Islam fanatik, Islam songsang dan Islam cari makan.

Inilah ironi zaman sekarang. Barat dalam keadaan serba salah. Di satu pihak mereka curiga terhadap negara Islam yang bertamadun dan di pihak yang lain pula mereka takut kepada fanatik Islam. Lagi teruk bila ramai fanatik dan pengganas yang bertopengkan Islam itu rakyat mereka sendiri.

Mereka buat angkara lemahkan negara Islam dan jadikan negara Islam boneka. Tapi permainan politik mereka dah jadi senjata makan tuan. Negara yang mereka takluk kacau-bilau dan rakyat jelatanya lari ke Barat.

Bila mereka nampak ramai orang Islam di negara mereka, mereka panik. Maka timbullah gerakan anti-Islam dan kumpulan neo-Nazi (Nazi baru) macam Patriotic Europeans against the Islamization of the West (PEGIDA). Kalau Kunta Kinte terjemah, berbunyinya lebih kurang Patriot Eropah Bagi Menentang Pengislaman Barat.

Mereka adakan tunjuk perasaan di beberapa buah bandar raya di Jerman. Tapi bukan semua orang Barat macam itu. Ramai yang buat tunjuk bantah PEGIDA.

Tapi konflik Islam-Barat tambah rumit dan ganas. Dua hari lepas tunjuk perasaan di Jerman, tiga orang bersenjata yang namanya bunyi macam nama orang Islam Perancis keturunan Afrika Utara serang pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris dan bunuh 12 orang kakitangan serta anggota polis. Majalah itu baru saja siar karikatur Nabi Muhammad (SAW).

Satu hal lagi Barat takut kepada Islam sebab ideologi Yahudi-Kristian (Judeo-Christian) yang mereka amal makin terancam. Makin ramai orang Kristian tidak lagi amalkan agama.

Surat khabar Wall Street Journal pada 5 Januari kata, beribu-ribu gereja kosong dan ada yang ditawarkan untuk dijual. Di England kira-kira 20 gereja tutup setiap tahun. Di Denmark 200 dikira tak berdaya maju atau tak digunakan sepenuhnya. Di Jerman 515 gereja Katolik tutup dalam tempoh sedekad lalu. Paling parah di Belanda di mana lebih 500 gereja Katolik dan 700 Protestan akan tutup dalam masa empat tahun akan datang.

Kunta Kinte harap kita janganlah seronok sangat dengan kedudukan istimewa Islam di negara kita. Kita pun boleh jadi macam negara-negara Islam yang porak-peranda itu kalau kita tak berjaga-jaga dan asyik hukum menghukum satu sama lain kerana agama.

Kerajaan kena bertegas

Sebab itulah Kunta Kinte tak habis-habis cakap yang kerajaan wajib tegas dan cepat bertindak terhadap segala bentuk keganasan dan sikap melampau tak peduli agama, ideologi, kaum atau bangsa.

Bukan Barat saja nak jadikan orang Islam hamba, tapi sudah ada orang Islam sendiri yang buat kerja itu atas alasan akidah. Kesudahannya makin ramai orang Islam jadi orang buangan di negara sendiri, miskin, melarat dan akhirnya dah tak kenal dosa dan pahala. Wallahuaklam.

E-mel ke [email protected] untuk berkongsi pendapat anda

Berita Harian X