Ahad, 14 Mei 2017 | 7:27pm

AirAsia tubuh syarikat penerbangan tambang rendah di China

BEIJING: AirAsia Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan China Everbright Group (China Everbright) dan Henan Government Working Group (HGWG) untuk menubuhkan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di China.

Di bawah MoU itu, ketiga-tiga pihak akan menubuhkan syarikat usaha sama yang bakal dikenali AirAsia (China) bagi mengendalikan perniagaan penerbangan berpangkalan di Zhengzhou, ibu negeri wilayah Henan yang terletak di bahagian tengah China.

AirAsia (China) akan melabur dalam prasarana penerbangan termasuk terminal LCC khusus di Lapangan Terbang Zhengzhou dan akademi penerbangan untuk melatih juruterbang, krew kabin dan jurutera serta kemudahan penyelenggaraan dan pembaikan (MRO) bagi tujuan servis pesawat.

MoU itu dimeterai Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; Presiden dan Pengarah Eksekutif Everbright Financial Investment Holding, Wang Weifeng serta Pengurus Besar Henan Airport Group, Li Weidong di sini, hari ini.

Ia disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini dalam lawatan kerja selama lima hari di China.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kanan AirAsia, Fam Lee EE dan Presiden Asia Utara AirAsia, Kathleen Tan.

Presiden dan Naib Pengerusi China Everbright, Gao Yunlong berkata, pihaknya teruja dapat menjalin kerjasama dalam membawa AirAsia ke China.

"Kami percaya China sudah bersedia untuk mempunyai LCC yang sebenar dan kami yakin hanya AirAsia yang mampu memenuhi janji dengan menyediakan nilai sebenar kepada pengembara China dengan adanya kombinasi penerbangan tambah rendah dan perkhidmatan yang telah merangkul pelbagai anugerah," katanya.

Bercakap dalam mesyuarat dengan AirAsia sebelum pemeteraian MoU itu, Timbalan Gabenor wilayah Henan, Shu Qing berkata, wilayah itu berbangga kerana dapat menawarkan AirAsia sebuah pangkalan di China.

"Zhengzhou adalah satu daripada wilayah antik di China pada masa dulu. Dengan adanya AirAsia menyokong bandar itu, kami mempunyai sepenuh keyakinan bahawa kami akan berjaya menukarkan Zhengzhou menjadi bandar baharu bagi pengangkutan dan logistik serantau dan global," katanya.

Tony berkata, Zhengzhou dipilih sebagai pangkalan berikutan lokasinya yang strategik dan penting sebagai hab logistik.

"Sebagai pintu gerbang China ke Eropah, Zhengzhou berada pada pusat rangkaian landasan kereta api, lebuh raya dan pengangkutan udara yang membentuk kunci utama pelan pembangunan China bagi rantau tengah dan baratnya.

"Kerjasama di China ini mewakili kepingan 'puzzle' AirAsia yang terakhir. Dalam tempoh 16 tahun, kami berjaya membina kehadiran di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun, dengan China melengkapkan lingkaran dalam semua wilayah utama di Asia Pasifik," katanya.

Beliau menjelaskan, ketiga-tiga pihak memperuntukkan AS$100 juta (RM430 juta) sebagai modal permulaan untuk AirAsia China.

Kamarudin pula menganggap MoU terbaru itu sejajar dengan kerjasama strategik dengan syarikat dari China lain seperti Tencent, Alipay dan Union Pay bagi pembayaran pembiayaan pesawat kepada Industrial and Commercial Bank of China dan China Aircraft Leasing Group Holdings Ltd bagi pajakan pesawat.

"Sebagai tambahan, kami menjalin kerjasama dengan Huawei untuk mencipta penerbangan digital dan lapangan terbang pintar bagi menukar cara kami terbang," katanya.

info

* AirAsia adalah LCC asing pertama yang memasuki China dan telah menerbangkan lebih 40 juta penumpang sejak laluan pertamanya ke China dibuka pada April 2005

* AirAsia dan AirAsia X kini terbang ke 15 destinasi di China dan ia adalah LCC asing terbesar yang beroperasi di negara itu

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X