Isnin, 15 Mei 2017 | 11:32am

'The Professor' ganti Kim Swee - FAM


JAWATAN terakhir Nelo Vingada adalah sebagai ketua jurulatih kelab North East United FC dalam saingan Liga Super India.

KUALA LUMPUR: Selepas hampir sebulan berteka-teki, akhirnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Nelo Vingada sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu menggantikan Datuk Ong Kim Swee.

Dikenali dengan nama timangan 'The Professor' kerana kaedah pengurusannya, Vingada bakal berdepan ujian sukar mengemudi skuad negara menghadapi aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun ini.

Vingada, 64, atau nama penuhnya Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada yang akan memulakan tugas pada 25 Mei ini, berkata menjadi satu penghargaan besar buatnya untuk dilantik ke jawatan terbabit.


NELO Vingada jurulatih baharu Harimau Malaya. Sumber FAM

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai ketua jurulatih kelab North East United FC dalam saingan Liga Super India.

"Saya mahu berterima kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana banyak berhubung dengan saya dan bertemu dengan saya di Johor baru-baru ini.

"Menjadi satu penghargaan kepada saya untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia.

"Banyak kerja perlu dilakukan segera dan saya sudah tidak sabar untuk memulakannya," kata Vingada yang mempunyai pengalaman luas selama 35 tahun dalam bidang pengurusan.

Kali terakhir Malaysia menggunakan khidmat jurulatih import pada tahun 2004 iaitu Bertalan Bicskei dari Hungary.

273 dibaca
Berita Harian X