Isnin, 15 Mei 2017 | 11:45am

Rasuah: Pemandu lori kena jel sehari, denda RM20,000

NG Jian Dar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memberi suapan RM300 kepada anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Mei tahun lalu. - Foto Hairul Anuar Rahim
NG Jian Dar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memberi suapan RM300 kepada anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Mei tahun lalu. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori mengaku salah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberi suapan RM300 kepada anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Ng Jian Dar, 25, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Jian Dar didakwa memberi rasuah kepada Ketua Pembantu Penguakuasa Gred L10 Ahmad Shafiee Jelani, 35, yang bertugas di SPAD Wilayah Selatan untuk tidak mengeluarkan saman dan menyita lori yang tamat tempoh permit.

Perbuatan itu dilakukan di Batu 3, Jalan Kluang-Mersing (Kluang) kira-kira jam 12.15 tengah hari ketika operasi bersepadu bagi pemeriksaan kenderaan pada 12 Mei tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Jian Dar dalam rayuannya meminta mahkamah mengurangkan hukuman kerana menanggung ibu bapa yang uzur selain lima adik.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari, denda RM20,000 dan memerintahkan tempoh enam bulan penjara terhadap tertuduh jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Johor, Nor Sharina Raizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X