Isnin, 15 Mei 2017 | 12:42pm

Suspek kes permit kerja disambung reman

ANGGOTA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi pegawai kanan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, Perlis, yang ditahan Isnin lalu, bagi membantu siasatan kes suapan lebih RM20 juta. - Foto Sharul Hafiz Zam
ANGGOTA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi pegawai kanan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, Perlis, yang ditahan Isnin lalu, bagi membantu siasatan kes suapan lebih RM20 juta. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Pegawai kanan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, Perlis, yang ditahan Isnin lalu, bagi membantu siasatan kes suapan lebih RM20 juta membabitkan permit kerja ekspatriat dan profesional warga asing disambung reman selama tujuh hari.

Perintah reman sehingga 21 Mei ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Rusmini Mat Rashid terhadap suspek utama itu selepas tempoh reman tujuh hari tamat hari ini.

Jurucakap SPRM berkata, empat lagi rakan suspek termasuk seorang berpangkat datuk berusia antara 30 hingga 53 tahun dibebaskan dengan jaminan RM10,000 seorang dan seorang penjamin.

"Kita perlu lanjutkan tempoh reman ke atas suspek utama bagi mengumpul lebih banyak bukti dan mengesan baki hasil suapan," katanya yang ditemui di sini hari ini.

BH sebelum ini melaporkan seorang 'Datuk' adalah antara lima lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes suapan lebih RM20 juta membabitkan permit kerja ekspatriat dan profesional warga asing.

Susulan penahanan suspek utama itu, SPRM turut merampas pelbagai barangan dan aset bernilai RM2.5 juta, termasuk lima buah kenderaan mewah dan sijil simpanan tetap berjumlah hampir RM1 juta di rumahnya di Jitra.

SPRM Kedah turut mendedahkan penahanan dua lelaki membabitkan pegawai JIM di ICQ Padang Besar dan kontraktor, turut disyaki memainkan peranan sebagai pemegang amanah kepada suspek utama.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X