Selasa, 27 Jun 2017 - 6:29PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

158 penerima darjah kebesaran dan pingat Sultan Pahang 

Oleh Nik Sukry Ramli



PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PEKAN: Seramai 158 penerima dianugerahkan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, lima menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Pengerusi DNC Asiatic Holding Sdn Bhd, Datin Seri Feona Sim; bekas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Polis Diraja Malaysia, Datuk Jalaluddin A Rahman; Pengarah United Panel - System (M) Sdn Bhd,  Datuk Loh Cher Xiong, Tan Choon Nan dan Ee Chang Ku.

Seramai lima menerima Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Datuk ialah kerabat diraja, Tengku Datuk Nurul Kamalia Tengku Kamil Ismail; Tengku Madihah Shahzan Tengku Kamil Ismail; Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail; Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ab Karim Ab Rahman dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Datuk Abdul Rahim Mohd Ali.

Enam individu lain pula dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) manakala 43 lagi menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang kedua-duanya membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DSAP ialah Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Azhar Abdul Manaf; Panglima Wilayah 1 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Jeneral Datuk Marsaleh Hassim; Asisten Ketua Staf Bahagian Perancangan Pertahanan Markas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohammad Salleh Osman.

Penerima DIMP pula ialah Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan, Hassan Abdul Ghani; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan; Pengarah Urusan Asia Madam Waffle Sdn Bhd, Datin Seri Linda Chen May Yen dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hidroulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Ir Dr Azuhan Mohamed.

Majlis pengurniaan itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan turut dihadiri Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sebanyak tujuh individu masing-masing menerima Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) dan Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP), 12 penerima Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan 34 penerima Ahli Mahkota Pahang (AMP).

Selain itu, sembilan orang menerima Pingat Khidmat Cemerkang (PKC), 16 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 14 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).


Trending

    Disyorkan