Isnin, 15 Mei 2017 | 5:20pm

KPT salurkan RM124.51j untuk KADS1M


KAD Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan RM124.51 juta untuk pembayaran kepada 498,040 pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang layak menerima bantuan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, KPT berkata pembayaran itu disalurkan melalui Bank Rakyat sejak 28 Mac lalu dan dibuat secara berfasa berdasarkan padanan data pelajar yang telah mempunyai akaun Bank Rakyat dengan data pelajar yang layak menerima bantuan itu daripada kementerian.

Katanya pemakluman oleh Bank Rakyat untuk mendapatkan kad debit masing-masing di cawangan Bank Rakyat telah dibuat melalui e-mel kepada 498,040 pelajar yang layak dan daripada bilangan itu, seramai 92,460 pelajar telah mengambil kad debit masing-masing.

"Proses padanan dan pembayaran akan dibuat secara berterusan dan dijangka selesai pada awal bulan Jun ini," kata KPT dan menambah seramai 919,628 pelajar telah membuka akaun di Bank Rakyat sehingga 9 Mei lalu.

Pada pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi program KADS1M yang menggantikan baucar buku 1Malaysia bagi meningkatkan keberkesanan pemberian bantuan kerajaan kepada pelajar IPT.

Kad debit pelajar itu berjumlah RM250 boleh digunakan untuk membeli bahan ilmiah di kedai buku terpilih, membeli perisian komputer dan peralatan pembelajaran.

Justeru, KPT menasihatkan pelajar yang masih belum membuka akaun Bank Rakyat untuk berbuat demikian dengan kadar segera melalui pautan www.bankrakyat.com.my/bppt.

"Pelajar masih perlu membuka akaun baharu Bank Rakyat walaupun telah mempunyai akaun bank berkenaan kerana bantuan ini hanya akan disalurkan menerusi akaun KADS1M Debit Bank Rakyat," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai urusan pembayaran, pelajar boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat melalui talian 1-300-80-5454.

Kementerian Pendidikan Tinggi boleh dihubungi di talian 03-88705331/03-88705342/03-88704361 bagi pertanyaan mengenai kriteria kelayakan. - BERNAMA

Berita Harian X