Sabtu, 10 Januari 2015 | 1:22pm

RM70.5 juta diperuntukkan atasi hakisan teruk di UMT

Noor Aznida Alias

[email protected]

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM70.5 juta bagi mengatasi masalah hakisan teruk di pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ia termasuk pembinaan tembok pemecah ombak, tambakan batu dan tambakan semula pasir di kawasan sepanjang 3.2 kilometer di pantai berkenaan.

Katanya, peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun lalu dan akan dimulakan pembinaannya sekitar Mac tahun ini.

"Saya dimaklumkan dalam perancangan JPS sudah ada peruntukan dan pembinaan sudah dibuat tahun lalu, tetapi disebabkan masalah banjir ia terpaksa dihentikan seketika dan disambung semula selepas ini.

"Dengan pembinaan benteng ini, kawasan beting pasir yang mengalami masalah hakisan teruk akan dapat diselamatkan sekali gus menghalang kemusnahan yang mengakibatkan kerugian beratus juta ringgit," katanya selepas melakukan lawatan ke pantai UMT yang terjejas teruk akibat hakisan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Idris berkata, masalah hakisan berkenaan menyebabkan UMT mengalami kerugian lebih RM20 juta selepas pusat penyelidikan dan beberapa peralatan penting musnah akibat ombak kuat yang menyebabkan hakisan.

Justeru, katanya kerja pemulihan perlu dilakukan segera bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan kampus.

"Saya dapati masalah hakisan ini memang di tahap bahaya dan mula mendekati kampus.

"Jika masalah ini tidak diatasi, ia akan berlarutan ke kawasan kampus dan pasti lebih banyak kerugian akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Berita Harian X