Selasa, 16 Mei 2017 | 11:43am
DUA beradik, Khairulanuar Khairuddin,34, (kiri) dan Mohd Khairul Bashar, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas sembilan pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menggunakan kad inden milik Syarikat Rapid Bus Kuantan Sdn Bhd bernilai RM2,836 bagi kegunaan sendiri pada 26 Mei 2016. -Foto Muhd Asyraf Sawal

Dua beradik didakwa pecah amanah

KUANTAN: Dua beradik dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap sembilan kes pecah amanah menggunakan kad inden milik Syarikat Rapid Bus Kuantan Sdn Bhd bernilai RM2,836 bagi kegunaan sendiri pada 26 Mei 2016.

Tertuduh, Khairulanuar Khairuddin,34, dan Mohd Khairul Bashar, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Khairulanuar yang bekerja sebagai penyelia kad minyak Prasarana Malaysia Berhad dan adiknya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen PETRONAS SS Maju Raudah, Bukit Pelindung, di sini, pada jam di antara 7.55 malam sehingga 8.39 malam, 26 Mei 2016.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan serentak, tertuduh didakwa menggunakan lima kad inden iaitu Kad Petronas Smart Pay didaftarkan atas nama enam bas Rapid Kuantan yang menyebabkan kerugian terhadap Syarikat Rapid Bus Kuantan.

Kedua-dua tertuduh mengeluarkan 1,830.208 liter diesel dalam tempoh itu yang menyebabkan kerugian RM2,836.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Habibah menetapkan ikat jamin RM7,000 terhadap kedua-dua tertuduh dan 6 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X