Selasa, 16 Mei 2017 | 1:03pm

Koperal tentera didakwa 79 tuduhan salah guna peruntukan

MUSA Md Rawi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini, atas 79 pertuduhan berkaitan menyalahgunakan peruntukan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) berjumlah RM50,238.10 antara April hingga Julai tahun lalu. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Seorang anggota tentera berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 79 pertuduhan berkaitan menyalahgunakan peruntukan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) berjumlah RM50,238.10 antara April hingga Julai tahun lalu.

Musa Md Rawi, 27, dari Kem Terendak Sungai Udang membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, dia didakwa menyalahgunakan harta dengan mencipta pelbagai nombor baucar bayaran bagi pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahunan PULPAK menggunakan nama individu berlainan, untuk dimasukkan ke dalam akaun bank milik Mohd Ramdan Mohd Sani dan Anuar Bolhassan.

Tertuduh turut melakukan perbuatan sama bagi baki 74 pertuduhan lagi untuk dimasukkan ke dalam dua akaun miliknya sendiri.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Belanjawan PULPAK, Kem Terendak Sungai Udang, antara 25 April hingga 1 Julai 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ong Cheng Hian, menawarkan jaminan RM158,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung isteri dan ibu bapa serta perlu menjalani rawatan kaki selepas terbabit kemalangan.

Norma kemudian membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes, selain pasport tertuduh diserahkan ke mahkamah.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X