X
Selasa, 16 Mei 2017 | 4:37pm

Proton Saga terus dapat pengiktirafan

GAMBAR fail, pemilik pertama generasi ketiga baru Proton Saga, Aliya RAIDAH Abdul Malek, 22, di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 28 September tahun lalu. - Foto NSTP/Sairien Nafis
GAMBAR fail, pemilik pertama generasi ketiga baru Proton Saga, Aliya RAIDAH Abdul Malek, 22, di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 28 September tahun lalu. - Foto NSTP/Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd menerima Anugerah Sedan Kompak Terbaik Tahunan bagi model Proton Saga oleh Drive Safe and Fast dan Allianz General Insurance Company Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata model Saga terus mendapat pengiktirafan global dan kekal menjadi kereta pilihan mampu milik negara.

"Kami gembira dengan pengiktirafan ini. Saga baharu menerima pelbagai penambahbaikan dan peningkatan sejak diperkenalkan pada 1985. Pelanggan boleh merasai ruang yang lebih senyap hasil pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) yang dilakukan, reka bentuk yang lebih bergaya, praktikal, berciri keselamatan dan lebih selesa.

"Ini dikira sebagai titik kepada segala usaha yang dilakukan oleh pekerja kami di PROTON untuk memberikan nilai yang terbaik buat pelanggan. Bermula dari RM36,800 untuk varian Standard, ia adalah harga mampu milik," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fuaad berkata, antara anugerah diperoleh Proton Saga baharu sejak dilancarkan pada tahun lalu adalah The Rising Star oleh ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2016 dan 'Value for Money Car' oleh MAI Malaysia Car of the Year 2016.

Beliau berkata, bagi varian 1.3L Premium, ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan canggih seperti ESC, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan cerun, beg udara, ISOFIX dan top-tether, dengan sensor di depan dan belakang pada harga RM45,800.

"Kami amat menghargai pengiktirafan dan kepercayaan yang berterusan kepada produk kami dan ini akan terus memberikan insentif kepada kita semua di PROTON untuk bekerja lebih keras memberikan produk dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami," katanya.

Ahmad Fuaad berkata, PROTON juga menjalankan Kempen 5 Nilai Hebat sepanjang Mei ini dengan menawarkan lima tahun Servis Percuma, jaminan lima tahun atau 150,000km (yang mana terdahulu) dan Bonus Perayaan RM500.

Beliau berkata, pemilik kereta Proton juga boleh menikmati Bonus Kesetiaan tambahan sebanyak RM1,000 kepada promosi sedia ada untuk pembelian kereta baharu Proton.

Selain itu katanya, PROTON turut memberikan bonus istimewa kepada guru dan jururawat bernilai RM500 serta promosi istimewa untuk kerusi kanak-kanak bernilai RM1,000 dengan harga hanya RM299.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X