Selasa, 16 Mei 2017 | 5:31pm

Satu laporan serangan Ransomware WannaCry diterima


Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

KUALA LUMPUR: Hanya satu laporan rasmi berhubung serangan siber membabitkan 'Ransomware WannaCry' diterima CyberSecurity Malaysia setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata agensi itu percaya lebih banyak kes berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada mereka.

Katanya, laporan rasmi itu diterima daripada sebuah institusi pendidikan, hari ini.

"Kami harap semua organisasi (pentadbir sistem) berwaspada dan meneruskan tindakan yang perlu untuk melindungi dan menjamin infrastruktur rangkaian daripada terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tanpa menamakan institusi berkenaan atas faktor keselamatan, Amirudin berkata, pentadbir sistem digesa meningkatkan keselamatan sistem komputer.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya berwaspada dengan serangan baharu Ransomware untuk menghalang mereka daripada mengklik pautan yang dihantar bersama e-mel dan fail mencurigakan.

Katanya, orang awam boleh merujuk amaran dan nasihat CyberSecurity Malaysia menerusi laman web korporat di bawah MyCERT sebagai langkah pencegahan.

"Justeru, kami meminta organisasi dan pengguna individu melaporkan apa juga serangan Ransomware kepada CyberSecurity Malaysia dengan menghubungi pusat bantuan Cyber999.

"Laporan juga boleh dibuat menerusi saluran seperti emel cyber999@cybersecurity.my atau mycert@mycert.org.my; talian bebas tol 1-300-88-2999, faksimili 03-89453442, talian 019-2665850 (24 jam) atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di aduan Cyber999 laporan e-mel ke 15888," katanya.

Beliau berkata, CyberSecurity akan terus memantau keadaan dan mengambil tindakan perlu dengan menyediakan bantuan teknikal kepada organisasi yang terbabit dan pengguna individu bagi pemulihan dan pencegahan melalui perkhidmatan Cyber999.

Berita Harian X