Selasa, 16 Mei 2017 | 7:00pm

Mesej mesin ATM ditutup, palsu


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Datuk Jailani Johari menyertai Kayuhan Asean 2017 selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Asean@Campus 2017 Jamboree ' Back To Nature ' dan Kayuhan Asean Tahun 2017 di Denai Larian Sungai Perlis, Kangar. - Foto Azhar Ramli

KANGAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menafikan dakwaan kononnya mesin juruwang automatik (ATM) akan ditutup selama dua hingga tiga hari akibat serangan siber 'ransomware' di India.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari, berkata dakwaan berkenaan yang mula tersebar melalui laman sosial khususnya WhatsApp, terbukti palsu selepas siasatan dijalankan pihaknya hari ini.

"Saya sahkan perkara yang viral di media sosial berkenaan adalah palsu dan kita harapkan orang ramai tidak cemas.

"Jika terdapat perkara yang viral seperti ini di masa akan datang, sila buat semakan dengan pihak berwajib," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program Asean@YoungFingertips 2017, yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di Dataran Denai Larian, di sini.

Mesej mengenai mesin ATM ditutup itu turut meminta orang ramai mengeluarkan wang dalam kadar segera dan mengelak membuat sebarang urus niaga dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa serangan siber itu.

Mengulas lanjut mengenai serangan siber itu, Jailani berkata, setakat ini, ia tidak membabitkan Malaysia dan pihaknya juga belum menerima apa-apa laporan daripada individu atau kumpulan yang menjadi mangsa serangan siber ransomware itu.

"Apa pun, kita berharap orang ramai bersikap berhati-hati dengan tidak membuka apa-apa pautan yang mencurigakan bagi mengelak menjadi mangsa, selain turut membuat sokongan ke atas fail penting serta memasang antivirus," katanya.

Program Asean@YoungFingertips 2017 yang berlangsung sejak Ahad lalu menarik lebih 1,500 pengunjung dengan pelbagai aktivitiseperti pameran ASEAN@i-Foto, pemeriksaan kenderaan dan pertandingan mewarna.

dibaca
Berita Harian X