Selasa, 16 Mei 2017 | 7:02pm
SEBUAH pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil air di Tasik Putrajaya bagi melakukan pemadaman dari udara di tempat pelupusan sampah haram di Kampung Tengah, Limau Manis yang kini sudah memasuki hari ketiga. - Foto Ihsan APMM

Guna air Tasik Putrajaya padam kebakaran


PEMANDANGAN dari udara kawasan kebakaran tempat pelupusan sampah haram di Kampung Tengah, Limau Manis yang kini sudah memasuki hari ketiga. - Foto Ihsan APMM

SEPANG: Pesawat Bombardier CL415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini melakukan penerbangan bagi membantu operasi pemadaman api di tapak pelupusan sampah haram di Desa Putra Dengkil, dekat sini.

Pengarah Cawangan Operasi Udara Maritim Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Rosni Aziz dalam satu kenyataan berkata, Maritim Malaysia terbabit secara langsung dengan membuat 20 curahan air bagi membantu pihak bomba dan pihak berkuasa tempatan memadam kebakaran di kawasan seluas 1.2 hektar itu.

"Maritim Malaysia berjaya melakukan curahan sebanyak 120,000 liter yang mana sumber airnya adalah daripada Tasik Putrajaya," katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menghadapi sebarang kesulitan ketika melakukan penerbangan memandangkan jarak penglihatan masih melebihi 10 kilometer (km) dan kebakaran berjaya dikawal sebaiknya oleh pasukan pemadam api di darat yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Penerbangan dilakukan seawal jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 3 petang.

"Pesawat diterbangkan Leftenan Komander (M) Mazlan Ariffin, Leftenan Komander (M) Muhammad Saad serta dibantu oleh Laskar Kelas 1 (M) Mohd Hisyam Abdullah selaku kru pesawat," katanya yang turut menyertai operasi berkenaan.

90 dibaca
Berita Harian X