Sabtu, 10 Januari 2015 | 4:25pm

Tren LRV jalani ujian seminggu lagi

KUALA LUMPUR: Tren enam gerabak pertama kenderaan rel ringan (LRV) Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) tiba di Depot Rapid KL LRT di Ampang dan bersedia untuk memulakan ujian dalam tempoh seminggu.

Kumpulan pertama daripada 50 set baharu itu menempuh perjalanan lebih tiga minggu melalui laut, tiga hari di Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang dan enam jam yang mencabar ke bandar raya.

LRV berkenaan diperoleh daripada pengeluar tren, CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (CSR) dan akan menggantikan tren enam gerabak semasa yang memberi perkhidmatan LRT Laluan Ampang sejak 1996.

Pengarah Pembangunan Projek Kumpulan Prasarana, Datuk Zohari Sulaiman, berkata dengan ketibaan set pertama, pihaknya kini boleh memulakan ujian dan kerja-kerja pentauliahan dalam persediaan untuk penggantian penuh tren yang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh dua tahun.

"Sebagai tren pertama, kami akan menjalankan ujian jenis dan integrasi selain daripada ujian biasa bagi semua tren baharu. Data ini penting untuk pembekal kami dan akan menetapkan langkah-langkah untuk pelaksanaan," kata dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas memunggah set tren berkenaan, pasukan yang terlibat akan bekerja untuk memasang semula set enam gerabak itu dan menjalankan pemeriksaan sebelum memulakan ujian.

"Kami memerlukan kira-kira seminggu sebelum menjalankan ujian sewajarnya," katanya sambil menambah bahawa set tren akan datang dijadual untuk diserahkan pada pertengahan bulan depan.

Dengan pelaburan kira-kira RM1 bilion, pembelian 50 tren baharu itu adalah antara pelbagai inisiatif yang diambil oleh Prasarana dalam meningkatkan lagi standard perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Sebanyak 30 set dibeli untuk menggantikan kumpulan tren sedia ada di LRT Laluan Ampang manakala baki 20 LRV pula di bawah projek Lanjutan Laluan LRT (LEP).

"Kami berharap untuk mempunyai enam set baharu LRV enam gerabak, apabila memulakan fasa pertama projek Lanjutan Laluan LRT Ampang pada akhir Oktober.

"Fasa pertama akan melibatkan pembukaan empat stesen baharu - Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5," katanya.

LRT Laluan Ampang kini memberi perkhidmatan kepada kira-kira 200,000 penumpang setiap hari.

Zohari berkata, di bawah perjanjian dengan pengeluar, 35 LRV pertama akan dihantar sebagai unit siap dipasang dari China.

Bagi 15 unit terakhir pula akan dipasang dalam negara di kilang CSR Zhuzhou di Batu Gajah untuk memenuhi keperluan kandungan tempatan.

Set LRV baharu yang memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa terkini, dilengkapi dengan ciri akses universal termasuk enam bahagian untuk kerusi roda.

Penumpang juga boleh berjalan dari hujung ke hujung tren yang lain kerana LRV baharu itu kini didatangkan dengan ruang laluan.

Zohari berkata, reka bentuk gerabak yang mesra pengguna dibangunkan berdasarkan maklum balas penumpang dengan menambah beberapa ciri-ciri baharu yang tidak terdapat dalam generasi pertama gerabak Laluan Ampang.

"Ini termasuk paparan destinasi akhir dalam gerabak, dengan peta laluan dinamik bersepadu," katanya sambil menambah bahawa LRV baharu ini mempunyai jangka hayat selama 30 tahun dan perlu diperbaharui apabila sampai separuh hayat perkhidmatan.

Selain ruang untuk penumpang kurang upaya yang tidak terdapat di dalam tren sedia ada, LRV kini dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah-langkah keselamatan tambahan.

- BERNAMA

S

91 dibaca
Berita Harian X