Rabu, 17 Mei 2017 | 12:03am

Kegemilangan 100 tahun industri sawit dan wawasan hadapan

KOMODITI HARI INI DAN HARI MUKA

KETIKA saya mula menulis petikan ini, warta berita sudah bermula mengenai kemenangan Emmanuel Macron dalam Pilihan Raya Presiden Perancis. Adalah menjadi harapan saya bahawa Presiden yang berideologi sederhana ini akan memandang minyak sawit secara lebih rasional dan memudahkan kedua-dua negara untuk bekerja ke arah formula menang-menang yang boleh dilanjutkan kepada seluruh Kesatuan Eropah (EU).

Sesetengah Ahli Parlimen Perancis agak merunsingkan industri minyak sawit, dengan pelbagai usaha mereka untuk memperkenalkan cukai bersifat diskriminasi dan tidak adil yang menyekat kemasukan minyak sawit ke Perancis dan melemahkan daya saing komoditi itu di tempat lain di Eropah.

Kaitan Perancis

Ironinya, orang Perancis yang memulakan penanaman komersial kelapa sawit di Tanah Melayu ketika itu. Henri Fauconnier yang mengimport beberapa beg benih dari Sumatera, adalah individu pertama menanam kelapa sawit di plot percubaan di Rantau Panjang, Kuala Selangor pada 1914 sebelum menubuhkan ladang komersial yang pertama di kawasan berjiran Tennamaram Estate, Batang Berjuntai (kini Bestari Jaya) pada 1917, tepat 100 tahun lalu.

Penanaman pertama itu menandakan peristiwa bersejarah bagi minyak sawit di Malaysia dan pada hari esok, kita akan meraikan dan memperingati tahun ke-100 penanaman komersial kelapa sawit komersial, di tapak permulaannya di Estet Tennamaram.

Pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 awal, orang Eropah mempelopori penanaman getah dan diikuti pembangunan ladang kelapa sawit.

Henri Fauconnnier dan sekutunya seorang rakyat Belgium, Adrian Hallet, yang mengasaskan Socfin S.A., adalah antara perintis bagi penanaman kelapa sawit.

Yang lain termasuk orang Scotland dan Inggeris seperti Alexander Guthrie (Kumpulan Guthrie), Daniel dan Smith Harrison serta Joseph Crosfield (Harrisons & Crosfield), William Middleton Sime, Henry d'Esterre Darby dan Herbert Milford Darby (Sime, Darby & Co.) dan Aage Westenholz, seorang rakyat Denmark yang memulakan United Plantations di daerah asal saya di Teluk Intan, yang dahulu lebih dikenali sebagai Teluk Anson.

Ini diikuti dengan penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada 1956 untuk menerajui program pembangunan dan penempatan semula untuk membasmi kemiskinan melalui pertanian getah dan kelapa sawit.

Selepas itu bermulanya era 'tauke' - Robert Kuok (PPB Oil Palms, kemudian Wilmar), Tan Sri Lee Loy Seng (KL Kepong) dan Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Group).

Kuasa ekonomi dan inovasi

Dalam tempoh 100 tahun ini, kita sudah menyaksikan pertumbuhan dan inovasi yang luar biasa.

Daripada permulaan yang kecil, industri minyak sawit hari ini adalah tonggak utama sektor komoditi, yang menyumbang sejumlah RM67.6 bilion dalam nilai eksport pada 2016, bersamaan dengan 6.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Dengan lebih daripada dua juta rakyat Malaysia yang terbabit dalam rantaian nilai minyak sawit termasuk 644,522 pekebun kecil, tidak dapat dinafikan bahawa kesannya ke atas kesejahteraan rakyat adalah sangat besar.

Pada peringkat global pula, Malaysia menghasilkan 8.5 peratus daripada hasil minyak dan lemak serta menguasai 19.1 peratus daripada pasaran eksport, namun hanya menggunakan 0.11 peratus daripada tanah pertanian global.

Perkembangan inovatif minyak sawit tidak kurang menakjubkan. Ianya bukan sahaja digunakan sebagai minyak dan lemak yang boleh dimakan, malah turut meresap ke dalam setiap aspek kehidupan harian kita.

Minyak sawit boleh dianggap 'Intel Inside' bagi produk makanan, barangan pengguna dan isi rumah, serta bahan api dan pelincir.

Dari saat anda membuka mata sampailah waktu tidur, anda mungkin menggunakan ramuan sawit atau produk derivatif tanpa mengetahuinya.

Produk penjagaan kulit dan ubat gigi yang kita gunakan pada waktu pagi mengandungi gliserin dan pengemulsi berasaskan sawit. Makanan pula disediakan dengan minyak masak yang diperbuat dari olein sawit.

Bagi merapikan pemakanan, kita kadangkala mengambil tocotrienol, agen anti-oksidan yang amat berkesan.

Sepanjang hari, pelbagai bahan pencuci dan produk pembersihan yang digunakan mengandungi surfaktan. Diesel yang kita masukkan ke dalam kereta mengandungi 7 peratus  biodiesel sawit. Apabila malam menjelang, produk penjagaan rambut dan badan yang kita gunakan mengandungi asid lemak dan emolien.

Penggunaan produk minyak sawit begitu mendalam kerana ia adalah ramuan berkesan yang dihasilkan dengan cekap dan inovatif melalui penyelidikan dan pembangunan yang bertahun-tahun.

Sebagai contoh, tidak ramai menyedari bahawa ladang kelapa sawit pernah menggunakan khidmat 'wanita penghembus, yang tugasnya adalah untuk mendebungakan bunga jantan, yang dicampur dengan talkum, kepada bunga betina apabila ia sudah terbuka.

Idea bijak ini berasal daripada warga Scotland, Leslie Davidson, yang meyakini bahawa agen pendebungaan kelapa sawit adalah serangga dan bukannya angin.

Beliau mengutarakan agar kajian dilakukan dan seterusnya mengumpul dana bersama Mahbob Sulaiman untuk tujuan penyelidikan. Ia dilakukan oleh seorang warga Pakistan yang terkenal, Rahman Anwar Syed. Elaeidobius Kamerunicus atau lebih dikenali sebagai kumbang kelapa sawit, tiba di Estet Mamor di Kluang dan Estet Pamol di Sabah pada tahun 1981 dan selebihnya tersirat sebagai sejarah.

Ibarat kumbang kelapa sawit yang menjadi pemangkin kepada peningkatan dalam hasil dan produktiviti, usaha penyelidikan serta pembangunan lain juga bertindak sebagai penggalak.

Konsortium Makmal Genetik Kelapa Sawit yang ditubuhkan pada 1962, sebagai contoh, menampakkan hasil yang luar biasa dalam kawalan perosak, penggunaan baja, penambahbaikan benih, produktiviti buruh, kecekapan pemprosesan dan kualiti minyak.

Seterusnya, penubuhan Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) pada 1973 dan Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) pada 1979, mengembangkan dan mempercepatkan penyelidikan serta pembangunan yang menghasilkan genom, biodiesel, biomass, aplikasi makanan dan bukan makanan dan piawaian mampan.

Peranan itu kini diketuai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang ditubuhkan melalui penggabungan PORIM dan Lembaga Pendaftaran dan Pelesenan Minyak Sawit (PORLA) pada 1998.

Perang terhadap kelapa sawit

Biarpun mengecapi kejayaan, perjalanan dalam tempoh 100 tahun ini bukan mudah. Ketika kita memasuki pasaran Amerika Syarikat sebagai minyak sayuran alternatif untuk kacang soya, kempen bersepadu yang mengaitkan minyak sawit kepada peningkatan risiko penyakit jantung koronari (CHD), dilancarkan pada 1987.

Diketuai Ketua Pengarah PORIM pada masa itu, Tan Sri Dr Augustine Ong, yang melakukan penyelidikan intensif mengenai pemakanan minyak sawit dan kesannya terhadap kesihatan, ditambah kempen advokasi bersepadu yang mensasarkan Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika (FDA) serta media dan pakar pemakanan, akhirnya kita berjaya mengekang kempen minyak 'anti-tropika'.

Namun, kempen penentangan masih belum berakhir. Penebangan hutan berleluasa menjadi isu baharu.

Kali ini, pihak lawan terutamanya dari Eropah dan serangan termasuk 'cukai Nutella' Perancis yang cuba untuk menaikkan cukai import minyak sawit kepada EUR 300 satu tan serta resolusi terkini oleh Parlimen Eropah yang menyarankan pensijilan tunggal minyak sawit yang memasuki Kesatuan Eropah (EU).

Pada asasnya ia adalah isu perdagangan yang berselindung di sebalik langkah perlindungan alam sekitar.

Ini biarpun Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengesahkan hutan Malaysia meliputi kawasan seluas 55.5 peratus dan jika termasuk kawasan hijau pertanian, adalah seluas 85 peratus.

Tambahan lagi, usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak telah menyumbang kepada penyekatan penurunan populasi orang utan dan jumlahnya kini telah mulai stabil.

Keselamatan makanan adalah isu yang agak baharu. Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) pada pertengahan 2016 menyatakan kewujudan 3-MCPD dan glycidyl (GE) dalam semua minyak dan lemak, termasuk minyak sawit.

Malangnya, kempen maklumat yang salah itu menyebabkan pasar raya di Itali menarik balik produk yang mengandungi minyak kelapa sawit daripada rak mereka. Isu itu bukan hanya satu ancaman terbesar terhadap perkembangan minyak kelapa sawit, malah boleh mendatangkan kesan kepada kewujudannya.

Kerajaan mengambil tindakan pantas dengan membuat peruntukan khas untuk menyokong penggunaan teknologi yang boleh mengurangkan kejadian sebegini dalam minyak sawit Malaysia.

Meneruskan era kegemilangan

Perjalanan 100 tahun pertama ini sangat menakjubkan.

Bagaimana minyak kelapa sawit akan dikenang 100 tahun lagi dari sekarang akan bergantung kepada visi dan keberanian kita.

Pada 2010, kerajaan mengiktiraf kepentingan minyak sawit dengan mengenal pasti ia sebagai satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

 Sejak enam tahun yang lalu, campur tangan yang tepat diambil untuk mengalih industri ke peringkat yang lebih tinggi.

 Bersesuaian dengan kepentingannya, kerajaan telah memperuntukkan RM1.54 bilion dan RM1.35 bilion untuk NKEA Minyak Sawit di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11 masing-masing.

Penekanan kepada produktiviti huluan melalui program penanaman baharu dan penanaman semula serta khidmat lanjutan yang dipergiatkan mampu meningkatkan amalan terbaik, mekanisasi dan kadar pengekstrakan minyak.

Pada peringkat pertengahan, usaha yang serius dibuat untuk memastikan pengelakan metana dipercepatkan melalui strategi tolak dan tarik seperti perubahan peraturan, serta pilihan menjana keuntungan seperti penjanaan elektrik untuk memanfaatkan Tarif Galakan (Feed-In-Tariff) dan pengeluaran gas semula jadi bio yang dimampatkan.

Kemajuan besar berjaya dilakar bagi sektor hiliran di mana perubahan struktur ke arah bahan derivatif oleo, makanan dan produk berasaskan kesihatan terbukti melalui komitmen pelaburan swasta bernilai RM3.3 bilion.

Visi untuk masa hadapan

Beberapa tema muncul di fikiran saya bagaimana untuk terus mara ke hadapan; kemampanan (dalam produktiviti dan alam sekitar), peningkatan nilai tambah dan peluang rangkaian nilai baharu.

Dalam jangka masa terdekat, adalah amat penting pengeluaran pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dipercepatkan. Ancaman pensijilan tunggal seperti yang dicadangkan Parlimen Eropah seharusnya menyedarkan kita bahawa MSPO harus diiktiraf secara universal dan tidak hanya menjadi inisiatif kita sendiri sahaja. Bagi pekebun-pekebun kecil yang membentuk hampir 40 peratus daripada keluasan penanaman kelapa sawit, MSPO adalah jambatan utama dalam dalam memastikan kepatuhan terhadap piawaian mampan dengan kos berpatutan dan proses dioptimumkan untuk mereka yang kekurangan sumber.

MSPO boleh membantu mempertingkatkan produktiviti tetapi pada masa yang sama, khususnya dengan kekurangan tanah dan tenaga buruh, cara baharu meningkatkan tahap produktiviti mesti diterokai dan diusahakan. Dengan kejayaan dalam urutan genom kelapa sawit, usaha yang lebih dapat difokuskan bagi mempertingkatkan produktiviti menerusi ciri fisiologi dan fizikal. Sementara itu, kewujudan Industri 4.0 dan pendigitalan membuahkan persoalan sama ada teknologi autonomi, Internet untuk Segalanya (Internet of Things) dan Data Besar (Big Data) dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan di ladang.

Banyak lagi nilai boleh diperoleh ketika proses di kilang, proses penapisan dan proses hiliran. Sebagai contoh, kita perlu mengkaji bagaimana efluen kilang minyak sawit dan biomas seperti tandan kosong buah-buahan, mesokarpa kosong, kulit kernel dan kek kernel boleh diproses lagi bagi mendapatkan nilai tambah selain daripada usaha untuk terus memperbaiki kadar perahan minyak.

Isu biomas sudah lama diperkatakan tetapi kita masih belum mengambil perhatian serius bagi minyak sawit.

Pada masa yang sama, Malaysia masih belum mengembangkan rantaian nilai industri minyak sawit sepenuhnya.

Sebagai sebuah negara yang kecil, dunia ini perlu menjadi pasaran kita. Namun, kehadiran kita masih memerlukan boleh diperbaiki.

Meraikan dan merenung

Dalam pada kita meraikan 100 tahun luar biasa dalam penanaman komersial kelapa sawit, kita juga perlu mengambil peluang ini sama-sama merenung sejenak. Kejayaan yang diperoleh turut bersulam cabaran dan halangan. Dengan merenung kembali apa yang diharungi, kita boleh memperbaiki beberapa rancangan sedia ada dan mungkin menetapkan semula beberapa haluan yang sudah diambil.

Berdasarkan dialog bersama rakyat melalui landasan TN50, mungkin ini adalah masa bagi industri minyak sawit sekali lagi berdamping bahu untuk melakar hala tuju kita menuju 2050.

Datuk Seri Mah Siew Keong adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Artikel ini adalah untuk berkongsi pandangan, harapan dan visi komoditi bersama rakyat Malaysia.

217 dibaca
Berita Harian X