Rabu, 17 Mei 2017 | 7:02am

City kembali ke tangga ketiga


PERTAHANAN Manchester City, Pablo Zabaleta dijulang rakan sepasukan bagi meraikan aksi terakhirnya bersama City di laman sendiri. - Foto AFP

MANCHESTER: Manchester City kembali menduduki tangga ketiga dan hampir mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara selepas mengatasi West Bromwich Albion 3-1 di Stadium Etihad.

Gabriel Jesus membuka jaringan buat City pada minit ke-27 selepas menerima hantaran Kevin de Bruyne, dan dua minit kemudian dia pula membuat umpanan kepada De Bruyne untuk gol kedua.

Yaya Toure meledak gol ketiga City pada minit ke-57 selepas bermain satu dua dengan Sergio Aguero.

City kini hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan terakhir di Watford bagi mengesahkan tempat dalam kelompok empat teratas.

Perlawanan itu juga menyaksikan Pablo Zabaleta diraikan pada aksi terakhirnya bersama City. Dia masuk menggantikan David Silva di pertengahan babak pertama bagi menutup karier sembilan tahunnya di Etihad yang memberikan dua kejuaraan liga.

Hal Robson-Kanu menjaringkan gol tunggal West Brom di akhir permainan.

Dengan hanya satu perlawanan berbaki, City kini mengumpul 75, dua mata di atas Liverpool yang berada di tangga keempat.

- Reuters

Berita Harian X