Rabu, 17 Mei 2017 | 9:30am

APMM tahan 4 nelayan warga Myanmar

ANTARA nelayan Myanmar yang ditahan APMM Daerah Maritim 3 Lumut, pada kedudukan 8 batu nautika dari Barat Pulau Talang. - Foto Ihsan APMM

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan tempatan bersama empat warga Myanmar kerana melanggar syarat lesen pada kedudukan lapan batu nautika dari Barat Pulau Talang di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, dua bot nelayan itu ditahan secara berasingan ketika sedang menangkap ikan.

Pengarah Maritim APMM Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata pihaknya melalui Kapal Maritim Nyalau menahan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan menjalankan aktiviti menangkap ikan yang melanggar syarat yang dinyatakan dalam lesen.

"Malah, empat awak-awak warga asing berusia antara 17 hingga 37 tahun juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Berita Harian X