Rabu, 17 Mei 2017 | 12:40pm

KSN dahului senarai penerima darjah dan pingat


KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. - Foto Mohd Fadli Hamzah

ARAU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, mengetuai senarai 282 penerima darjah serta pingat kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-74, tahun ini.

Beliau dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang dikurniakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, sempena istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Arau, di sini.

Turut menerima SPMP yang membawa gelaran Datuk Seri adalah Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Raja Perlis turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 38 lagi individu pada majlis sama hari ini.

Antaranya Panglima Medan Timur Tentera Darat, Datuk Mohd Zaki Mokhtar yang dianugerahkan Darjah Datuk Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DWSJ) yang membawa gelaran Datuk Wira dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas, yang dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Empat individu menerima Darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Perlis, Khairi Hasan; Panglima 9 Briged, Brig Jeneral Dzulkafli Mustaffa; Panglima 13 Briged (ESSCOM), Brig Jeneral Muhammad Anwar Abdullah dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Hasnah Osman, pula dianugerahkan Darjah Datuk Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang membawa gelaran Datuk.

Dalam pada itu, seramai lima individu disenarai menerima Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP), diikuti 28 penerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP), 34 penerima Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP), 26 penerima Pingat Mahkota Perlis (PMP), seorang penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 63 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 90 penerima Pingat Jasa Baik (PJB) dan 26 penerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

Berita Harian X