Rabu, 17 Mei 2017 | 5:03pm

Cradle 300 untuk bangun, komersial produk

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd memperkenalkan produk pelaburan berstruktur baharu dikenali Program Pelaburan Cradle 300 (CIP300) kepada usahawan syarikat permulaan di negara ini untuk membangun dan mengkomersilkan produk mereka.

Ia adalah program pra-awal yang menyediakan geran dan bantuan sokongan nilai tambah hingga RM300,000 kepada usahawan untuk memulakan teknologi inovasi berasaskan usaha sama perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Nazrin Hassan, berkata CIP300 membantu menyelesaikan jurang pembiayaan yang wujud pada fasa awal perniagaan, iaitu pada peringkat idea, prototaip dan fasa awal pengkomersialan produk.

Beliau berkata, ciri-ciri utama CIP300 ialah pelbagai sokongan nilai tambah disediakan, yang mana setiap penerima CIP300 akan memperoleh manfaatnya.

"Di samping menerima dana untuk membangun dan mengkomersilkan produk, CIP300 menawarkan perkhidmatan nilai tambah seperti bimbingan dan mentor, peluang pemadanan dengan pelabur berpotensi dan program latihan bagi memupuk, membangun dan menyediakan penerima CIP300 terhadap cabaran membangunkan syarikat permulaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran CIP300 di sini, hari ini.

Nazrin berkata, Cradle menyasarkan seramai 25 usahawan syarikat permulaan untuk menerima CIP300 tahun ini.

Berita Harian X