Rabu, 17 Mei 2017 | 5:10pm
KARTUNIS, Datuk Mohammad Nor Khalid @ Datuk Lat (kiri) menandatangani plak perasmian pameran Bumi Larangan karya Zulkifli Dahlan di Balai Seni Negara. Turut sama Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dewa dan Datuk Ahmad Fuad Dahlan (kanan). - Foto Rohanis Shukri.

Karya Zulkifli Dahlan di Balai Seni Negara


KARTUNIS, Datuk Mohammad Nor Khalid @Datuk Lat (kiri) bersama Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dewa pada sesi lawatan ke pameran lukisan Bumi Larangan karya Zulkifli Dahlan di Balai Seni Negara. - Foto Rohanis Shukri.

KUALA LUMPUR: Selepas empat dekad kematian pelukis tanah air, Zulkifli Dahlan, karyanya kini diangkat pada Pameran Bumi Larangan Zulkifli Dahlan di Balai Seni Negara di sini, mulai hari ini sehingga 2 Julai ini.

Zulkifli diangkat sebagai seorang daripada pelukis seni rupa moden Malaysia yang penting dan berpengaruh, selain menjadi antara pengasas kumpulan seniman di negara ini, Anak Alam.

Kurator Balai Seni Negara, Nor Hanim Khairuddin, berkata pameran Bumi Larangan adalah sebahagian inisiatif memperkenalkan semula karya pelukis yang meninggal dunia pada 1977 ketika berusia 25 tahun.

"Pameran ini penting untuk memperlihatkan gaya yang dibawa beliau sebagai pelukis 1970-an tetapi masih lagi relevan hari ini," katanya pada Pameran Bumi Larangan Zulkifli Dahlan di sini, hari ini.

Pameran dilancarkan oleh kartunis tanah air, Datuk Muhammad Khalid atau Lat pada majlis yang dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Negara (LPSN), Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa; penggiat teater yang juga bekas Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Tan Sri Johan Jaaffar dan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1986 Abdul Latif Mohidin.

Sementara itu, Lat berkata, Zulkifli atau akrab disapa Jo dalam kalangan rakan, adalah sebahagian daripada anggota awal Anak Alam.

"Saya tidaklah rapat dengan Anak Alam tetapi kerap juga saya bersama mereka.

"Dekad 1970-an adalah tahun-tahun 'gila' antaranya pameran Towards Mystical Reality yang diingati kerana menimbulkan perdebatan dalam kalangan seniman sama ada pelukis, penulis, penyair dan ahli akademik," katanya.

Pada hayat Zulkifli, karyanya pernah dipamerkan pada Pameran Manusia dan Alamnya di Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur pada 1973; Eksposisi Seni, iaitu pameran dua pelukis bersama Yusoff Osman, Petaling Jaya (1974) dan Bakat Muda Sezaman di BSLN, selain menyertai Pameran Grafik Anak Alam 1, 2 dan 3.

Allahyarham menerima Anugerah Khas Pertandingan Man and His World di BSLN pada 1973, manakala pada tahun berikutnya meraih Anugerah Pelukis Terbaik, Pertandingan Bakat Muda Sezaman.

Berita Harian X