Khamis, 18 Mei 2017 | 3:34pm

Kenderaan bawa kuda dibida RM9,200


ANTARA pembida membida harga pada Lelongan Awam Kenderaan Sita Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) Melaka 2017 di Dewan Tun Fatimah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kenderaan untuk membawa kuda berusia 20 tahun yang dilelong pada harga RM9,200 mencatat bidaan tertinggi pada Hari Lelong Kenderaan Sita, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, hari ini.

Kenderaan itu menjadi milik seorang peniaga, Johari Jaapar, 38, dalam lelongan yang bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan, berkata pihaknya tidak menyangka kenderaan berkenaan mendapat sambutan begitu tinggi daripada orang ramai walaupun harga lelongannya bermula RM950.

"Bagaimanapun, pemiliknya bertuah kerana jika dibeli yang baharu, harga kenderaan untuk membawa haiwan ini boleh mencecah sehingga RM35,000.

"Sementara itu, bidaan terendah pula membabitkan motosikal jenis Suzuki RC80 pada harga RM170," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Berita Harian X