Khamis, 18 Mei 2017 | 6:54pm

Eksekutif dipenjara 14 tahun, 5 sebatan kes rogol

H Sathisan dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii, tahun lalu. - Foto Sairien Nafis
H Sathisan dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii, tahun lalu. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan terhadap eksekutif syarikat pengangkutan selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii, tahun lalu.

Hakim Datin Kunasundary Marimuthu membuat keputusan itu terhadap H Sathisan, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Kunasundary memerintahkan tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dengan tiga sebatan untuk kesalahan merogol manakala bagi tuduhan melakukan seks luar tabii pula penjara lapan tahun dengan dua sebatan.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Kunasundary dalam penghakimannya berkata, hukuman yang dijatuhkan adalah wajar setimpal dengan kesalahan dan cara yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa.

"Perbuatan rogol adalah kesalahan buruk dan keji, tambahan pula dilakukan oleh seorang yang berumah tangga dan menikmati kehidupan sebagai suami isteri.

"Tertuduh sanggup melakukan perbuatan itu semata-mata kerana nafsu. Saya berharap hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh hari ini dapat memberi amaran kepada sesiapa yang ingin melakukan kesalahan sama, " katanya.

Sathisan dituduh merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di sebuah hotel di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini antara jam 12.30 pagi hingga 4.45 pagi, 30 April 2016.

Bagi tuduhan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen  376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat manakala kesalahan seks luar tabii, dia didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama yang memperuntukkan hukuman sama jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Tharamjit Singh membuat permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman atas alasan anak guamnya perlu menjaga ibunya yang sudah tua selain isteri yang mempunyai sakit jantung.

Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi membantah permohonan itu berikutan alasan yang diberikan tidak kukuh dan pihak pembelaan tidak mengemukakan sebarang dokumen berhubung penyakit yang dihidapi isteri tertuduh.

Berita Harian X