Khamis, 18 Mei 2017 | 8:19pm

Ringgit susut berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit turun 0.12 peratus untuk ditutup rendah berbanding dolar AS yang berjaya menarik permintaan ke arah penghujung dagangannya, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan disebut harga pada 4.3260/3290 berbanding dolar AS daripada 4.3210/3250 pada Rabu.

Ringgit mencecah paras terendah hariannya pada 4.3280 tetapi penurunan terhad selepas pasaran mula menjangkakan data pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang lebih baik yang akan diumumkan esok.

Seorang peniaga berkata selain daripada pembetulan teknikal yang berlaku sekarang dan pengambilan untung selepas kenaikannya baru-baru ini, ringgit hari ini juga berdepan dengan tekanan yang tercetus semula disebabkan oleh penurunan harga minyak dunia.

Pasaran dilaporkan terus mendapat banyak bekalan minyak mentah meskipun usaha oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan pengeksport utama lain untuk mengekang pengeluaran dan menyokong harga.

Penanda aras minyak mentah Brent turun sebanyak 17 cents kepada AS$52.04 setong dalam dagangan lewat Asia manakala minyak mentah West Texas Intermediate susut 16 cents kepada AS$48.91.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1062/1088 daripada 3.0977/1026 pada Rabu dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.9203/9244 daripada 3.8450/8489 pada Rabu.

Ringgit menyusut berbanding pound British kepada 5.6398/6446 daripada 5.5927/5996 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8096/8147 daripada 4.7941/7990 pada Rabu. -- BERNAMA

Berita Harian X