Khamis, 18 Mei 2017 | 11:29pm

Raja Nursheena raih gangsa di Baku


Raja Nursheena bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam acara 100m berpagar wanita di Sukan Perpaduan Islam Keempat, dekat Baku, Azerbaijan, sebentar tadi. - Foto Ihsan Raja Nursheena Raja Azhar

KUALA LUMPUR: Raja Nursheena Raja Azhar menceriakan kem olahraga apabila merangkul pingat gangsa acara 100 meter (m) berpagar wanita di Sukan Perpaduan Islam Keempat, Baku, Azerbaijan sebentar tadi.

Pelari berusia 26 tahun itu melakar catatan 13.85 saat (s) dengan pingat emas menjadi milik pelari Olimpik, Odile Ahouanwanou dari Beninese dengan kepantasan 13.55s manakala perak diraih Nevin Yanit Baltaci dari Turki (13.71s).

"Alhamdulillah atas kejayaan ini. Saya tidak menyangka dapat tempat ketiga dan ini adalah berkat doa rakan, keluarga dan jurulatih.

"Saingan di sini (Azerbaijan) memang kuat namun saya tidak mempedulikan mereka sebaliknya hanya berikan tumpuan terhadap larian saya.

"Saya sedang fokus mendapatkan catatan masa ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) dan saya akan cuba lakukan yang terbaik nanti," katanya kepada BH Sukan menerusi aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.

Raja Nursheena adalah pemenang pingat gangsa Sukan SEA Myanmar pada 2013 dengan kepantasan 13.84s.

Catatan peribadi terbaik atlet itu adalah 13.83s di Terbuka Perak 2015.

Berita Harian X