Jumaat, 19 Mei 2017 | 12:04pm

Remaja maut akibat kencing tikus

JOHOR BAHRU: Seorang remaja berusia 18 tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) tengah malam tadi akibat leptospirosis atau kencing tikus.


DATUK Ayub Rahmat.- Foto Hairul Anuar Abd Rahim

EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata remaja lelaki itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Katanya, siasatan lanjut masih dilakukan berhubung pergerakan mangsa sebelum ini tetapi remaja berkenaan yang berasal dari Pekan Nanas, Pontian dikatakan mandi di Air Terjun Gunung Pulai, Kulai, dekat sini bulan lalu.

"Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengenai kematian seorang remaja sekitar jam 12 tengah malam tadi di HSA disebabkan kencing tikus dan kegagalan organ berfungsi.

"Mangsa disahkan meninggal dunia selepas tiga hari berada di ICU HSA," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayub berkata, mangsa dimasukkan ke hospital selepas mengalami mengalami sakit perut, selsema, demam selama tiga hari dan lemah anggota badan.

"Saya nasihatkan kepada semua pengunjung mana-mana air terjun atau pusat reakreasi sekitar April dan Mei ini untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital dan klinik kesihatan dengan kadar segera," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X