Jumaat, 19 Mei 2017 | 2:57pm

Manusia Neolitik amal diet karnivor

RANGKA manusia Neolitik yang ditemui di Guar Kepah, Kepala Batas bulan lalu. - Foto Amir Irsyad Omar

GEORGETOWN: Rangka manusia Neolitik yang ditemui di Guar Kepah, Kepala Batas bulan lalu, dikenal pasti mengamalkan diet karnivor dengan menjadikan sumber laut bercengkerang sebagai makanan utama.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata penemuan itu dibuat hasil laporan makmal Radiokarbon Beta Analytical Lab di Florida, Amerika Syarikat yang dikeluarkan kelmarin.

Mokhtar berkata, laporan itu boleh dikaitkan dengan penemuan bukit kerang setinggi 5.49 meter di dasar tapak berkenaan baru-baru ini, yang turut dipenuhi artifak tembikar dan alat batu.

"Penemuan tiga bukit kerang di tapak Guar Kepar adalah di luar jangkaan kerana kita menyangka ia sudah pupus.

"Malah, rangka manusia Neolitik ini ditemui disemadikan dalam timbunan kulit kerang yang dipercayai sisa buangan makanan mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, penemuan itu memberi gambaran lebih jelas istiadat pengebumian masyarakat Neolitik di negara ini.

"Laporan ini dapat memberi gambaran manusia Neolitik bukan hanya ada di Lenggong, Perak kerana kajian di tapak merumuskan mereka tinggal di tepi laut dan berkemungkinan nelayan.

"Penemuan Bukit Kerang ini akan membawa kepada penemuan rangka lain, sekali gus menjadikan Guar Kepah sebagai pusat arkeologi penting dan bertaraf dunia," katanya.

Pada 17 April lalu, sekumpulan penyelidik USM yang membuat kerja ekskavasi menemui rangka manusia Neolitik berusia 5,710 tahun dalam keadaan tangan diikat ke dada dan diletak mengiring di kanan sebelum ditanam bersama tembikar serta peralatan memburu, seiring adat masyarakat purba.

Berita Harian X