Jumaat, 19 Mei 2017 | 4:57pm

Peluncur ais negara optimis cemerlang KL 2017

PELUNCUR negara, Wong De Vin. - Foto Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih tempat keempat dalam Sukan Musim Sejuk Asia di Sapporo, Jepun bakal menjadi azimat terbaik buat skuad luncur ais negara membolot sebanyak mungkin pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017).

Peluncur negara, Wong De Vin, berkata walaupun Malaysia hanya meletakkan sasaran meraih dua emas daripada keseluruhan lapan acara dipertandingkan, namun dia yakin mungkin ada kejutan luar biasa bakal berlaku di gelanggang pertandingan di Empire City Damansara.

"Untuk acara luncur berganti-ganti 3000 meter, saya yakin kami mempunyai peluang baik untuk menang berbanding kuasa Asia Tenggara lain.

"Ini kerana dalam Sukan Asia Musim Sejuk pada Februari lalu, kami muncul sebagai pasukan terpantas berbanding pencabar negara Asia Tenggara lain apabila meraih tempat keempat di belakang China, Korea Selatan dan Jepun.

"Memang diakui pencabar kami seperti Thailand, Singapura dan Filipina, agak kompetitif, tetapi tiga peluncur kami berada dalam kelompok lima terpantas di Asia Tenggara.

"Cuma seorang saja ahli pasukan kami masih ketinggalan dari segi kepantasan," katanya yang juga kapten pasukan luncur ais negara.

Jelas De Vin, dua lagi pingat emas mungkin hadir daripada acara figure skating dan pasukan berganti-ganti 3000 meter wanita negara yang turut mempunyai peluang cerah untuk menang.

Bagaimanapun, De Vin, 21, mengakui dia bakal berdepan kesukaran dalam kategori individu apabila pencabar utamanya dari Singapura Lucas Ng sebelum ini membuktikan kepantasannya dalam saingan MapleZ South-east Asian Short Track Trophy apabila menyapu bersih tiga gelaran individu - 500m, 1000m dan 1500m.

Tetapi atlet kelahiran Kuala Lumpur itu percaya tidak mustahil untuknya merakamkan kejutan ketika faktor beraksi di laman sendiri dan pengalaman 'berguru' di Korea Selatan dan China mahu dimanfaatkan sebaik mungkin olehnya kali ini.

Berita Harian X