Jumaat, 19 Mei 2017 | 7:02pm

Batu Pahat bukan lubuk mesin judi


Beberapa kain rentang yang mendakwa daerah ini menjadi bandar mesin judi di negeri ini dipasang di beberapa lokasi utama di Batu Pahat sejak kelmarin.- Foto ihsan PDRM

BATU PAHAT: Polis menafikan daerah ini menjadi lubuk mesin judi di Johor berikutan kewujudan beberapa kain rentang yang dipasang secara meluas mengenai isu berkenaan di beberapa lokasi utama di sini, sejak kelmarin.

Kain rentang berkenaan mendakwa daerah ini menjadi bandar mesin judi di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kain rentang berkenaan juga sudah diturunkan kakitangan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

"Saya ingin menegaskan bahawa daerah ini bebas dari apa juga bentuk premis perjudian terutama yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga (PHK) apatah lagi tiada sebarang lesen dikeluarkan untuk pusat berkenaan.

"Sejak Januari hingga semalam, sebanyak 31 premis perjudian diserbu dan polis berjaya menahan seramai 43 penjaga premis serta 149 orang disyaki berjudi.

"Sebanyak 524 komputer, tiga komputer tablet dan 29 modem selain RM8,385 wang tunai yang digunakan untuk berjudi dirampas.

"Setakat ini, seramai 10 penjaga premis dan 25 suspek judi sudah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Wahib berkata, orang ramai serta masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai premis perjudian di daerah ini juga diminta tampil memberi maklumat.

"Polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain bagi membendung kegiatan perjudian dan maksiat daripada bertapak di daerah ini," katanya.

33 dibaca
Berita Harian X