Sabtu, 20 Mei 2017 | 1:12am

Puluhan penduduk Gaza cedera bertempur dengan tentera Israel


Penduduk Palestin melemparkan batu ke arah tentera Israel berikutan bantahan terhadap sekatan ke atas Gaza, berhampiran sempadan antara Israel dan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

GAZA: Puluhan penduduk Palestin cedera semalam di Tebing Barat dan Gaza dalam pertempuran dengan tentera Israel selepas berarak menyokong banduan yang melancarkan mogok lapar, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Pertubuhan itu dan Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, penunjuk perasaan cedera terkena gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup.

Ribuan penduduk mengadakan tunjuk perasaan di beberapa tempat seluruh Tebing Barat, yang diceroboh sejak 1967 oleh tentera Israel, dan berhampiran sekatan keselamatan yang mengepung Semenanjung Gaza.

Selama 10 tahun, Gaza dikepung Israel bertujuan mengekang pergerakan Hamas yang mentadbir wilayah pesisir pantai itu.

Penduduk Gaza kerap mencabar tentera Israel yang mengawal sekatan konkrit dan logam yang memisahkan ia dengan wilayah Yahudi itu.

Ratusan penduduk yang mengibarkan bendera Palestin mendekati sekatan itu semalam dan membaling batu dan membakar tayar.

Pihak berkuasa di wilayah itu berkata, lapan cedera terkena peluru dan 30 lagi akibat terhidu gas pemedih mata.

AFP

47 dibaca
Berita Harian X