Sabtu, 20 Mei 2017 | 2:36pm

Dilarang naik kadar premium sewenang-wenang

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan melayan mana-mana syarikat insurans yang ingin menaikkan kadar premium kenderaan tanpa mengemukakan justifikasi kenaikan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan demikian, berkata kenaikan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa penilaian dan kelulusan pihak BNM.

Katanya, tiada alasan kenaikan dibuat terhadap pemilik kenderaan yang tidak merekodkan sebarang kemalangan.

"Antara justifikasi BNM adalah syarikat insurans yang diberi lesen tidak boleh menaikkan kadar premium insurans jika keuntungan melebihi tuntutan insurans.

"BNM ada formula sendiri menerusi langkah ini dan ia sebenarnya bermanfaat untuk jangka masa panjang.

"Mengikut tarif sedia ada, kadar premium akan bertambah murah bagi pemilik dan pemandu kenderaan yang berhemah," katanya mengulas isu kewajaran pelaksanaan kadar premium insurans kenderaan berdasarkan profil risiko pemegang polisi yang akan berkuat kuasa Julai depan.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Kenderaan Van Jenazah kepada Surau At-Taqwa sumbangan Takaful Malaysia Berhad di Projek Perumahan Rakyat, Jalan Jelatek di sini hari ini.

DATUK Seri Johari Abdul Ghani, berucap ketika majlis penyerahan Van Jenazah kepada Surau At-Taqwa, PPR Jelatek, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Seri Johari Abdul Ghani (dua, kanan) menerima repilika kunci daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil (dua, kiri), ketika majlis penyerahan Van Jenazah kepada Surau At-Taqwa, PPR Jelatek, Kuala Lumpur. Turut hadir, Pengerusi Surau, At-Taqwa, Yeim Kamari (kanan). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X