Sabtu, 20 Mei 2017 | 6:49pm

Sudah seminggu mati dalam rumah

SANDAKAN: Misteri bau busuk daripada sebuah pangsapuri di Jalan Old Slip Way, di sini sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap, pagi tadi.

Mangsa berusia 68 tahun yang juga pesara guru ditemui dalam keadaan badan sudah membengkak dan berbau busuk pada jam 9.35 pagi.

Jiran mangsa membuat laporan polis selepas terhidu bau hanyir dan melihat darah meleleh dari bawah pintu rumah mangsa, sebelum sepasukan polis ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata anggota bomba dipanggil ke lokasi terbabit untuk memotong kunci dan pintu rumah sebelum polis menemui mayat mangsa.

Katanya, mangsa yang tidak pernah berkahwin dan tinggal seorang diri di rumah itu kali terakhir dilihat oleh jirannya pada petang Ahad lalu.

"Mangsa juga dipercayai mengidap sakit jantung, namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kematian.

"Setakat ini, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada perbuatan jenayah atau khianat berlaku," katanya.

Mohd Azhar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.

Berita Harian X